Penubuhan Invoke Malaysia bakal menjadi pelaburan Rafizi paling bermakna jika BN kalah pada PRU akan datang.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengorbankan
RM500,000 simpanan peribadinya dalam Tabung Haji untuk menubuhkan NGO,
Invoke Malaysia.
Beliau menunaikan janjinya untuk mengisytiharkan harta buat kali ke-2 di pejabat Invoke Malaysia, hari ini.
Dalam dokumen 11 halaman beserta dokumen sokongan, beliau menjelaskan
sejumlah RM530,000 dikeluarkan daripada akaun Tabung Haji bermula April
hingga September 2016.
“Pada April saya keluarkan RM100,000, Jun RM100,000 dan September
RM330,000. RM30,000 untuk pengubahsuaian rumah di Bukit Antarabangsa,
manakala baki RM500,000 untuk memulakan NGO Invoke,” katanya.
Katanya, Invoke ditubuhkan dalam usaha mendapatkan undi pengundi atas
pagar yang sudah bosan dengan politik kepartian bagi merampas 30 kerusi
marginal yang menurutnya kunci menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada
pilihan raya akan datang.
“Saya harap ia pelaburan yang berbaloi. Jika kita berjaya menewaskan
BN, ini adalah pelaburan paling bernilai yang pernah saya buat,” katanya
lagi.
Rafizi berkata, sebab beliau tidak mengumumkan pengeluaran itu
sebelum ini, di saat beliau mengkritik pengurusan Tabung Haji adalah
kerana tidak ingin mencetuskan panik di kalangan orang ramai.
“Kalau umum secara terang, ia boleh menyebabkan panik. Saya tahu
sebahagian besar penyimpan di situ adalah orang berpendapatan rendah
dengan nilai simpanan yang kecil,” katanya yang berhenti memasukkan wang
bermula Februari selepas meneliti kedudukan kewangan badan itu.
Semalam, beliau berkata akan sekali lagi membuat pengisytiharan harta
ekoran kajiannya sebelum ini, di mana 698 daripada 727 orang mahu ahli
politik dan keluarga serta penjawat awam mengisytiharkan kekayaan
mereka.
Mac tahun lalu, Rafizi membuat pengisytiharan aset bersih sebanyak RM1.56 juta dengan hutang RM395,937.
Beliau menyatakan jumlah asetnya untuk tahun ini menurun kepada RM953,021.
Selain pengeluaran Tabung Haji, Rafizi menjelaskan sebab penurunan
itu apabila beliau menyingkirkan 2 kereta bernilai RM150,000 daripada
asetnya, yang sebelum ini dibeli atas namanya tetapi dibayar dan
digunakan 2 pekerja.
Selain harta atas namanya, kali ini beliau turut memasukkan senarai
harta di bawah nama isteri, iaitu sebuah rumah teres 2 tingkat di Puncak
Alam, Selangor bernilai RM300,000 dan barang kemas serta simpanan tidak
melebihi RM15,000.