Isnin, 19 Jun 2017

Skandal 1MDB: Siapa yang hendak saman DoJ? soal Najib

PERDANA Menteri Najib Razak tidak mahu mengulas mengenai pendedahan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) kerana sudah terlalu banyak kenyataan dibuat sebelum ini.
Beliau juga berkata pihaknya sudah membuat kenyataan mengenainya Jumaat lalu.
"Sudah banyak kenyataan, tidak payah. Saya dah keluar kenyataan, (Jumaat lalu)," katanya dalam satu sidang media Putrajaya hari ini.
Kenyataan Najib melalui Pejabat Perdana Menteri (PMO) Jumaat itu mengatakan kenyataan DoJ hanya akan memberi ruang kepada manipulasi dan gangguan politik dalam negara, kata hari ini.
PMO menyatakan kebimbangannya terdapat motif yang melangkaui objektif rampasan aset dalam pemfailan saman terbaru DoJ.
Najib mengulas pertanyaan wartawan mengenai gesaan Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein semalam yang membidas DoJ kerana hanya mengeluarkan kenyataan tanpa memberi ruang kepada pihak terbabit membela diri.
Hishamuddin berkata pendakwaan boleh dibuat sekiranya DoJ mempunyai bukti kukuh.
Sementara itu, Najib ketika diminta mengulas adakah akan mengambil tindakan dengan menyaman DoJ, ini jawab beliau:
"Saman? Siapa hendak saman?" soal presiden Umno itu kepada wartawan.
Minggu lalu, DoJ mengemukakan saman untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dikaitkan dengan wang 1MDB.
Tuntutan saman terbaru DoJ, yang ketiga sejak tahun lalu membawa jumlah keseluruhan wang diselewengkan daripada 1MDB sebanyak AS$4.5 bilion.
Dalam pemfailan saman sivil ketiga dan terbaharu bagi pelucutan hak itu, DoJ ingin menyita antara lain, kapal layar Equanimity bernilai AS$165 juta (RM704 juta) dimiliki Jho Low, dan hak filem komedi "Dumb and Dumber To" dihasilkan Red Granite, syarikat penerbitan dimiliki bersama oleh Riza Aziz, anak tiri Najib Razak.

DoJ juga mendakwa dalam tuntutan itu sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan oleh Low untuk membeli loket dan rantai bernilai merah jambu 22 karat untuk “Malaysian Official 1 Wife”.
Ketika kali pertama DoJ memfailkan saman penyitaan aset berkaitan dengan kleptokrasi 1MDB tahun lalu, pihak berkuasa Malaysia menafikan sebarang jenayah berlaku dalam 1MDB.
Bagaimanapun, siasatan ke atas 1MDB sudah bermula di Amerika Syarikat, Switzerland dan Luxembourg. Singapura yang mengambil masa dua tahun untuk menyiapkan siasatan jenayah berkaitan 1MDB  berjaya menutup siasatan apabila mengarahkan dua bank menutup operasi, mendenda lapan yang lain, serta memenjarakan, mendenda dan mengharamkan mereka yang terlibat untuk terus bekerja dalam industri kewangan Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA