Amanah Kelantan mempersoalkan mengapa kerajaan negeri
menggunakan yayasan untuk membeli tanah tugu peringatan banjir di Kuala
Krai

PETALING JAYA: Amanah Kelantan mempersoalkan mengapa kerajaan negeri menggunakan Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) untuk membeli tanah tugu peringatan banjir di Kuala Krai.
Naib Pengerusi Che Ibrahim Mohamed berkata kerajaan negeri mempunyai agensi yang boleh digerakkan untuk projek itu.
“Objektif penubuhan YTK ialah bagi tujuan mengadakan kursus pembinaan umat, membantu pendidikan pelajar cemerlang dan pembangunan insan. Maka sebab itu kita katakan pembelian ini satu pembaziran.
“Kerajaan negeri ada agensi lain yang lebih releven untuk membeli tanah itu,” katanya.
Menurut Che Ibrahim, kawasan itu meliputi 3 lot tanah yang secara keseluruhan berkeluasan 0.956 ekar.
“Dalam 3 lot itu PAS telah membina beberapa bangunan lain yang terdiri daripada surau, bilik gerakan PAS Kuala Krai dan dalam pada masa sama, Majlis Daerah Kuala Krai membina 5 buah gerai di atas tanah itu.
“Sepatutnya kerajaan menggunakan agensi lain, sebagai contoh Majlis Daerah Kuala Krai yang boleh membayar pembinaan tugu dan membina gerai atas tanah itu,” kata kepada FMT.
YTK ditubuhkan melalui Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi tujuan “program bina ummah”.
Sebelum ini, Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa dilaporkan mempertikaikan kewajaran RM300,000 dibelanjakan untuk projek tugu tersebut.
Kerajaan negeri tahun lalu membina Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai bagi memperingati 170,000 orang dan 36,000 buah
keluarga yang menjadi mangsa bencana banjir pada Disember 2014, Bah (banjir) Merah 1927 dan Bah Besar 1967.
Pemuda PAS Kelantan dalam satu kenyataan semalam menjelaskan tindakan kerajaan negeri sebenarnya menyelamatkan tanah tersebut.
Ketua Penerangan Nazman Che Iberahim berkata keluasan sebenar tanah adalah 1.1 ekar dan menjadi tapak Masjid al-Jauhar “yang telah berada lebih puluhan tahun di sana”.