Kini, Hari Buruh dikenali Hari Pekerja, dan melencong tujuan asal daripada membela hak buruh kepada tanggungjawab pekerja.
Dulu sambutan Hari Mei atau May Day pada 1 Mei dipanggil Hari Buruh,
bukannya Hari Pekerja. Ia merupakan terjemahan perkataan Labour Day.
“Buruh” merujuk pekerja yang menggunakan tenaga tulang empat kerat.
Contohnya orang yang kerjanya mengangkat barang, membuat jalan,
melombong, menoreh dan sebagainya. Bagaimanapun dalam bahasa Inggeris,
“labour” bermaksud bekerja atau menghasilkan sesuatu.
Hari Buruh mula disambut di Malaya pada 1921, selepas Perang Dunia
Pertama, sebelum Perang Dunia Kedua. Ketika itu Malaya adalah tanah
jajahan Inggeris yang kaya dengan menyumbang pendapatan Britain melalui
hasil pelombongan bijih timah dan peladangan getah. Ia dikerjakan
melalui tenaga buruh melibatkan pekerja dari China dan India.
Kini Hari Buruh dikenali sebagai Hari Pekerja. Pekerja di sini
bermaksud mereka yang makan gaji, termasuklah yang bekerja di pejabat,
dan menggunakan tenaga mental.
Asalnya, Hari Pekerja bertujuan memperingati perjuangan para pekerja
menuntut hak, iaitu 8 jam bekerja sehari dan cuti rehat seminggu sekali,
di samping gaji setimpal.
Hari Pekerja disambut dengan para pekerja mendapat cuti rehat sebagai
penghargaan serta perarakan bagi menyatakan tuntutan hak mereka. Pada
mulanya, sambutan ini dianjurkan oleh kesatuan sekerja dan parti politik
yang menyokong mereka, tetapi akhirnya ia menjadi arus perdana dengan
kerajaan turut menganjurkannya.
Di Malaysia merdeka, pihak berkuasa yang mengambil perhatian terhadap
pekerja ialah Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat. Kini ia dikenali
sebagai Kementerian Sumber Manusia. Perubahan nama kementerian juga
menunjukkan perubahan perhatian terhadap pekerja.
Dahulu apabila ada perkataan buruh, maka ia merujuk kepada pekerja
yang menggunakan tenaga manusia. Sememangnya pada masa itu ekonomi
negara bergantung pada tenaga fizikal manusia. Namun begitu, ia juga
mengambil perhatian terhadap pekerjaan lain, itulah yang disebut sebagai
tenaga rakyat.
Kini istilah sumber manusia merujuk pada keseluruhan pekerjaan dan
kementerian ini mengumpul data serta merancang mengenainya bagi tujuan
pembangunan negara.
Maka apabila sambutan Hari Pekerja dibuat oleh kerajaan, ia bukan
saja ditujukan pada buruh atau pekerja makan gaji tetapi keseluruhan
pekerjaan yang dilakukan oleh rakyat. Maka orientasi sambutan Hari
Pekerja sudah berubah daripada berbentuk tuntutan hak kepada soal
produktiviti, mutu kerja dan sumbangan pada negara.
Sementara di pihak berkuasa agama, sambutan Hari Pekerja dilihat dari
sudut nilai bekerja itu sendiri. Dalam khutbah Jumaat menjelang Hari
Pekerja umpamanya, ia menekankan soal bahawa agama menggalakkan
seseorang itu bekerja dan tidak meminta-minta atau mengemis.
Para pekerja pula diingatkan tentang kepentingan pendapatan halal.
Pekerja Islam dilarang bekerja dalam perniagaan haram. Umpamanya membuat
dan menjual arak. Selain itu para pekerja diseru supaya bersifat jujur
dan amanah. Rajin dan tidak curi tulang. Di atas segalanya pekerja
diingatkan supaya tidak mengambil rasuah.
Tujuan asal
Walaupun seruan itu baik tetapi tujuan asal Hari Pekerja adalah
mengingat tentang perjuangan hak mereka. Maka pada hari itu, apa yang
perlu diingatkan adalah pada majikan.
Dalam agama juga, majikan diminta jujur dalam membayar ganjaran.
Bayaran upah tidak boleh ditangguh. Pekerja tidak boleh ditindas dan
mereka mesti dilayan dengan adil.