Sudah terlalu lama lagu 'lembaga zakat tidak cekap' dinyanyikan. Masalah ini perlu diubati dengan segara.
Oleh Rahman Imuda
Tiga tahun lepas saya membaca kritikan Daruk Asri Zainul Abidin (kini mufti Perlis) berkenaan institusi zakat di negara ini.
Beliau mempersoalkan ke mana perginya wang kutipan sebanyak RM1
bilion. Jika negara ini mampu mengutip wang zakat sebanyak itu, mengapa
masih terlalu ramai fakir miskin yang menderita?
Anehnya, apabila kita melihat statistik agihan-kutipan yang
dikeluarkan kebanyakan Pusat Zakat negeri, statistik itu menunjukkan
prestasi cemerlang. Jumlah wang yang diagihkan akan menghampiri wang
kutipan, lebihan wang zakat amat sedikit.
Pada Seminar Kebangsaan Ekonomi Malaysia 2008, satu kertas kerja
menyimpulkan ramai pembayar zakat tidak berpuas hati dengan kecekapan
pusat zakat mengagihkan kutipan zakat. Saya berpandangan isu ini harus
dipandang serius.
Sudah terlalu lama lagu “lembaga zakat tidak cekap” dinyanyikan.
Masalah ini perlu diubati dengan segara, supaya kepercayaan rakyat
kepada institusi zakat dapat dikembalikan, sekali gus memberi manfaat
kepada golongan asnaf.
Ketelusan
Saya berasa kesal apabila membaca berita 4 pegawai tinggi termasuk
seorang yang berpangkat “Datuk” dari Zakat Pulau Pinang ditangkap oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terkait dengan
jenayah rasuah.
Menurut SPRM, jenayah yang dilakukan 4 pegawai ini mencecah jutaan
ringgit. Cuba bayangkan dengan nilai jutaan ringgit yang disalah gunakan
ini, berapa ramai golongan asnaf yang boleh dibantu?
Inilah masalah utama kebanyakan orang yang diberi amanah memegang
dana awam di Malaysia, mereka fikir mereka sedang memegang duit kurniaan
“mak bapak” mereka.
Ini membuktikan institusi yang memakai “jenama” agama di Malaysia tidak semestinya bersih daripada unsur jenayah dan rasuah.
Untuk meningkatkan keberkesanan pengagihan zakat, pegawai yang
dilantik perlulah mempunyai integriti yang tinggi dan berkelayakan.
Insitusi zakat di setiap negeri pula perlu selalu dipantau dengan rapi
untuk mengelakkan sebarang penyelewengan.
Sudah tiba masanya institusi zakat di setiap negeri “dibedah” secara
terbuka oleh masyarakat awam, memandangkan pembayar zakat mempunyai hak
untuk mengetahui ke mana wang yang mereka amanahkan itu disalurkan.
Statistik institusi zakat perlu lebih lengkap dan menyeluruh, bukan
setakat mempamer nombor yang banyak. Pada zaman serba-serbi muslihat
ini, tidaklah terlalu sukar untuk menipu menggunakan nombor.
Birokrasi dan bantuan
Institusi zakat kita terkenal dengan birokrasi yang tinggi dan
sekali-sekala menyusahkan para asnaf. Borang penting dan bukti
sememangnya perlu untuk mengelakkan penipuan, tapi mengapa perlu
menyusahkan asnaf?
Salah satu contoh yang mudah adalah kekurangan kaunter zakat di luar
bandar. Untuk membayar zakat, kita mempunyai pelbagai platform yang
boleh digunakan: membayar terus kepada amil, e-zakat, SMS, potongan gaji
dan terkini, pandu-lalu bayaran zakat.
Malangnya, untuk menuntut zakat yang sememangnya milik asnaf, pemohon
yang terutamanya datang daripada luar bandar perlu berulang-alik ke
pusat zakat untuk melakukan permohonan.
Sekali-sekala saya terfikir, adakah jumlah zakat yang diterima nanti
mampu menanggung kadar tambang yang dibelanjakan untuk ke pusat zakat
memandangkan mereka datang dari jauh.
Bukankah sepatutnya menjadi tugasan institusi zakat untuk mencari
asnaf? Jika tidak, apalah gunanya membelanjakan wang zakat untuk membeli
pelbagai kenderaan?
Saya juga berpandangan sudah tiba masanya badan zakat meminimakan
bantuan kewangan secara terus dan menggantikan kaedah itu dengan skim
yang boleh memberi pendapatan kepada asnaf.
Saya ingin memuji beberapa institsi zakat negeri yang memberi modal
dan kursus kemahiran untuk para asnaf memulakan perniagaan. Hal ini akan
membantu golongan asnaf ini untuk keluar daripada status fakir atau
miskin, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka kepada institusi
zakat. Ini akan memberi ruang kepada orang yang lebih memerlukan untuk
mendapatkan bantuan zakat.
Jika pengagihan zakat cekap…