Rabu, 24 Mei 2017

Pas bukan talian hayat Umno, Pemuda AMANAH bidas kematangan politik Khalil Abdul Hadi

Kenyataan Ketua Pemuda Pas Muhammad Khalil Abdul Hadi bahawa Pas bukan talian hayat bagi UMNO dalam PRU Ke-14 tidak mencerminkan kematangan dalam politik dan tidak berpijak di bumi yang nyata.
Ini adalah kerana umum mengetahui bahawa senjata paling ampuh bagi menjatuhkan UMNO pimpinan kleptokrat Najib Razak adalah melalui permuafakatan parti pembangkang sepertimana yang dibuktikan dalam pilihanraya umum tahun 1990, 1999, 2008 dan 2013.
Apabila Pas mengambil langkah memutuskan hubungan politik dengan DAP dan KEADILAN, maka timbul persepsi di kalangan rakyat bahawa Pas kini bermusuh dengan musuh politik UMNO.
Kesediaan parti-parti Pakatan Harapan yang dianggotai AMANAH, DAP, KEADILAN dan PPBM membuka pintu persahabatan seluas-luasnya kepada Pas hampir 2 tahun selepas terkuburnya Pakatan Rakyat ditolak oleh Pas.
Pas seolah-olah tidak memahami ungkapan ‘musuh kepada musuh aku adalah rakanku’. Oleh sebab itu, Pas dianggap memberikan talian hayat kepada UMNO yang kini nyawa-nyawa ikan kerana tidak lagi popular di kalangan rakyat akibat pergolakan politik dan urustadbir negara yang korup dan zalim terhadap rakyat.
Tambahan pula, pengumuman Presiden UMNO Najib Razak dalam sambutan 71 tahun UMNO baru-baru ini bahawa Pas telah memutuskan tahaluf siyasi dengan KEADILAN menunjukkan begitu gembiranya UMNO dengan tindakan tersebut dan seolah-olah ianya sebuah hadiah ulangtahun paling bermakna dalam sejarah UMNO.
Pas juga tidak lagi bersuara menentang penyelewengan dan kezaliman kerajaan pimpinan Najib Razak seperti tidak mengundi menolak bajet gst dan Rang-rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015.
Apatah lagi dalam isu korupsi terutama 1MDB, Pas terus menyepi malah menyokong Najib Razak apabila terdapat kenyataan pemimpin kanan Pas bahawa dakwaan terhadap MO1 memerlukan 4 orang saksi.
Penggunaan agama pada tempat yang salah tidak seharusnya dilakukan Pas di mana walaupun terdapat kes prima facie kesalahan jenayah Perdana Menteri, ianya diselamatkan Pas atas naratif agama.
PAS hanya menggunakan hubungan G2G antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebagai alasan untuk mengaburi hati ahli dan penyokong Pas bahawa kerjasama yang wujud adalah untuk kebaikan rakyat.

Individu kelima disabit salah dalam isu berkaitan 1MDB

Seorang lagi individu disabitkan bersalah atas pertuduhan berkaitan 1MDB di mahkamah di Singapura hari ini, menjadikan keseluruhan lima orang.
Menurut Bloomberg, bekas pegawai bank Kelvin Ang Wee Keng didenda S$9,000 kerana merasuah seorang penganalisis di Singapura untuk menyediakan laporan penilaian yang memihak padanya.
Pihak pendakwaan mendakwa Ang, bekas pegawai di Kim Eng Securities Pte, memberi rasuah S$3,000 untuk mempercepat penilaian AS$2.4 bilion untuk PetroSaudi Oil Services Ltd.
1MDB pada 2009, mengusahakan usaha sama dengan PetroSaudi Limited dan hubungan itu berterusan hingga 2011.
Laporan itu berkata Ang mendapat sekitar S$235,000 untuk yuran rujukan dalam menguruskan aset-aset PetroSaudi.

Selain Ang, tiga lagi pegawai bank BSI, dan pengurus cawangan Falcon Private Bank disabitkan bersalah atas kesalahan berkaitan skandal 1MDB.

Singapura juga menarik balik lesen kedua-dua bank itu.

Sertai blok Saudi-AS, Najib bawa Malaysia ke kancah bahaya


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ketika tiba pada Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat (AS) di Pusat Persidangan Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Ahad lalu. Foto BernamaPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disambut Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ketika tiba pada Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat (AS) di Pusat Persidangan Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Ahad lalu. Foto Bernama
Presiden Amanah Mohamad Sabu berharap Pakatan Harapan dapat mengembalikan peranan Malaysia sebagai negara berkecuali dan meletakkan Malaysia kepada pendamai antarabangsa, bukan memihak kepada negara-negara dalam pertikaian.
Beliau berkata, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengheret Malaysia kepada satu blok Saudi dan Amerika sekali gus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara memihak.
"Maka Malaysia tidak lagi dapat memainkan peranan dalam konflik di Iraq, Syria, Yaman bahkan di Palestin sendiri kerana sikap memihak kepada Amerika dan Saudi itu," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau juga, di Asia Tenggara pula sedang berlaku perebutan kuasa perairan terutama sekali antara China dan Amerika Syarikat.
"Malaysia yang telah menjadi sebuah negara memihak kepada Amerika, meletakkan negara dalam kancah tidak baik untuk memberi pandangan berkecuali.
"Najib telah membawa negara ke satu blok yang pada jangka panjang akan mengundang bahaya kepada Malaysia dan rakyat seluruhnya," katanya.
Najib pada Ahad lalu menyertai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan lebih 50 pemimpin Islam untuk sidang kemuncak di Riyadh bertujuan menentang extremisme dan terrorisme global.
Mohamad berkata, selama ini nama Malaysia begitu harum di peringkat antarabangsa apabila Allahyarham Tun Abdul Razak dengan dasar berkecuali melalui The Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) menyebabkan pengkalan tentera asing meninggalkan malaysia termasuklah The Royal Australian Air Force (RAAF) meninggalkan Malaysia.
"Malaysia kemudian menjadi sebuah negara aman dengan sikap berkecuali dan memainkan peranan di peringkat ASEAN dalam usaha perdamaian sama ada di Filipina, Thailand mahupun Aceh untuk menyelesaikan konflik," jelasnya.

RON95, RON97 dan diesel naik 4 sen

Harga baru bagi petrol RON95 dan RON97 serta diesel masing-masing akan meningkat empat sen menjelang tengah malam ini.

Harga petrol RON95 akan menjadi RM2.12 dari harga RM2.08 seliter sekarang, manakala RON97 menjadi RM2.40 daripada RM2.36 dan diesel pula dari RM1.99 kepada RM2.03 seliter.
Harga baru itu akan berkuat kuasa hingga 31 Mei.
Harga bahan api kini ditentukan dengan menggunakan sistem harga siling mingguan yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Sejak sistem baru ini dimulakan April lalu, harga minyak pada mulanya menyaksikan trend menaik untuk bulan pertama dan kemudian trend menurun tiga minggu sesudahnya tetapi meningkat semula sejak dua minggu kebelakangan ini.
Harga runcit bahan api ditentukan berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOP) dan purata kekuatan mata wang minggu sebelumnya.
Ia sebelum ini diumum secara bulanan.

PKR angkat Anwar bukan perkara baharu, kata Azmin

Namun, Azmin mengulangi gesaan pelbagai pihak agar parti dalam Pakatan Harapan kembali fokus kepada matlamat menumbangkan Barisan Nasional pada PRU14.
azmin-pkr-anwar
PETALING JAYA: Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membolehkannya menjadi perdana menteri adalah perjuangan PKR sejak dahulu, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Anwar adalah simbol kezaliman, pembebasan Anwar adalah pembebasan rakyat. Ia telah menjadi pendirian kita dari dulu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat PKR selepas mesyuarat Biro Politik parti itu malam ini.
Beliau diminta mengulas kritikan sesetengah pihak, termasuk rakan komponen dalam Pakatan Harapan, iaitu PPBM yang melihat PKR terlalu fokus kepada isu menjadikan Anwar sebagai perdana menteri, dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi “perdana menteri sementara” sebelum beliau dibebaskan.
Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan menyifatkan perkara itu tidak bertanggungjawab dan “mempermainkan” jawatan nombor 1 negara.
“Bagaimana jika Anwar kalah pilihan raya (atau) tidak boleh menjadi PM atas sebab kesihatan? Ia keputusan kolektif gabungan. Anda tidak boleh meremehkan hal ini,” katanya dipetik FMT hari ini.
Pada Kongres PKR Ahad lalu, parti itu membuat gimik dengan mengangkat sepanduk tertera “Anwar PM ke-7”. Sepanduk itu diangkat semua pemimpin yang hadir, termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, kecuali Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengulas perkara itu, Dr Mahathir berkata, beliau menghormati PKR selaku tuan rumah, tetapi mereka tidak boleh “dipaksa mengikuti kehendak PKR”.
Beliau berkata, Pakatan Harapan juga perlu menghormati undang-undang jika tetap bertegas mengangkat Anwar sebagai perdana menteri, di saat beliau masih menjalani hukuman penjara.
Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mengeluarkan kenyataan keras dengan berkata, PKR cuba “memaksa ketaksuban” mereka terhadap Anwar dan memalukan 2 pemimpin PPBM itu.

Perumahan KPRK: Aduka Taruna cerita insiden kena tampar

Pagi semalam, Khairul Nizam Abd Ghani menjangkakan pertemuan biasa dengan pegawai Kumpulan Perumahan Rakyat Kelantan (KPRK) untuk membincangkan masalah dihadapi orang ramai di negeri itu.
Tetapi apabila tiba di tempat yang sepatutnya, pengerusi Parti Sosialis Malasya (PSM) itu terkejut.
Katanya, dia menghulurkan salam kepada Pengarah Urusan KPRK, Nik Salman Nik Din, namun apa yang diterima adalah tamparan pada muka.
Seorang lelaki lain yang menemani Nik Salman kemudian datang secara agresif dan berlaku pergelutan, menyebabkan Khairul Nizam terpaksa mempertahankan diri.
"Pergaduhan berlangsung selama kira-kira dua atau tiga minit.
"Saya kena mempertahankan diri dan (semasa pergaduhan berlaku) beberapa peralatan dalam pejabat rosak," katanya menceritakan insiden itu kepada Malaysiakini hari ini.
Kira-kira jam 11 pagi semalam, Khairul Nizam - yang turut dikenali dengan nama Aduka Taruna - bersama beberapa pengadu mahu mengemukakan bantahan mengenai projek perumahan KPRK yang tergendala.
Mereka sepatutnya bertemu dengan Nik Salman untuk mendapatkan penjelasan.
Sebelum ini pun, kata Khairul Nizam, mereka sudah bertemu dengan pegawai KPRK terbabit beberapa kali dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Biasanya, mereka akan menjemput kami ke pejabat Nik Salman untuk mesyuarat tetapi semalam, kata Khairul Nizam, pegawai terbabit keluar dari pejabat bersama seorang lelaki yang mungkin pengawal peribadinya.
"Macam selalu saya hulurkan tangan untuk memperkenalkan diri walaupun dia sudah kenali saya.
"Mukanya ketika itu sangat marah, dan tiba-tiba dia menampar saya," katanya.
Pergaduhan itu akhirnya terlerai pengadu masalah perumahan dan Khairul Nizam mengeluarkan telefon tangan masing-masing untuk merakamkan kejadian berkenaan.
Katanya, PSM sebelum ini pernah membantu guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang membeli rumah KPRK yang terbengkalai selepas 90 peratus disiapkan.
Nafi ahli PAS
Menurut Khairul Nizam, Nik Salman begitu berang semalam kerana isu perumahan itu menjadi tular di media sosial apabila PSM membantu pembeli terbabit.
Semasa berbincang selepas pergaduhan dileraikan, Khairul Nizam mendakwa Nik Salman mengeluarkan notis kepada pengadu dan mengugut untuk membatakan perjanjian jual beli mereka kerana wujudnya campur tangan PSM.
Pada penghujung sesi perbincangan itu, kata Khairul Nizam, dia menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman.

Saman Fitnah: Pesuruhjaya Pas Perak rayu keputusan mahkamah

Razman hari ini membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi IpohRazman hari ini membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Ipoh
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria hari ini membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Ipoh terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Mahkamah sebelum ini membatalkan Tuntutan Balas yang dikemukakan oleh pimpinan Pas itu terhadap Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.
Dalam tuntutan balas tersebut, Razman mendakwa bahawa Mohammad Nizar telah memfitnah beliau melalui kenyataan bersama Pakatan Rakyat Perak pada tarikh 21 Mac 2015 berhubung isu pelaksanaan hukuman hudud di negeri Perak.
Katanya, tindakan bekas menteri besar Perak itu yang membuat kenyataan bersama tanpa persetujuan beliau merupakan satu fitnah ke atas dirinya selaku Pesuruhjaya Pas Perak.
Peguam Razman, Harith Ibrahim dalam penghujahannya hari ini juga berkata bahawa tindakan Mohammad Nizar yang membelakangkan Razman selaku Pesuruhjaya Pas Perak dianggap sebagai perbuatan "misfeasans".
Peguam Mohammad Nizar, Asmuni Awi bagaimanapun berhujah, bahawa tuntutan balas tersebut tidak mendedahkan apa-apa kausa tindakan kerana kenyataan bersama yang didakwa fitnah tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam tuntutan balas Razman.
Katanya lagi, tuntutan balas tersebut seolah-olah dikemukakan atas kapasiti beliau sebagai Pesuruhjaya Pas Perak sedangkan tindakan tersebut bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 yang hanya membenarkan pegawai awam yang didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk mengambil tindakan bagi pihak parti.

PKR bimbang kesan perjanjian Geely kepada vendor Proton

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berharap perjanjian dengan Geely akan memberikan hasil lebih baik untuk Proton, ketika harga jualan 49.9% saham kekal misteri.
wong-chen-geely-4
PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR, Wong Chen mempersoalkan sama ada penjualan 49.9% saham Proton Holdings Bhd kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) mengambil kira kesan kepada vendor syarikat kereta nasional yang sedang bergelut itu.
“Adakah Geely akan mempunyai kawalan ke atas industri alat ganti di Malaysia?” soalnya sambil menambah kerajaan perlu memastikan perjanjian itu tidak memberi kesan negatif kepada industri terbabit.
Ahli Parlimen Kelana Jaya itu turut menggesa kerajaan mendedahkan syarat penjualan hampir separuh daripada kepentingan Proton kepada Geely, syarikat berpangkalan di China, seperti diumumkan DRB-Hicom Bhd, pemilik Proton hari ini.
“Kami berharap perjanjian itu akan membawa hasil lebih baik kepada Proton,” katanya.
Perjanjian itu turut menyaksikan Geely memperoleh 51% saham DRB-Hicom dalam pengeluar kereta sport British Lotus.
Kedua-dua pihak memeterai perjanjian itu hari ini dengan disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tanpa mendedahkan nilai jualan. Perjanjian muktamad dijangka ditandatangani pada Julai nanti.
Proton yang diasaskan pada 1983, menerima bantuan kerajaan sebanyak RM1.5 bilion tahun lalu dengan syarat mereka perlu mencari rakan kongsi strategik asing untuk membantu memulihkan perniagaannya kerana mengalami kerugian selama bertahun-tahun.

PM ke-4 punca Perlembagaan ‘koma’, kata pensyarah

Pensyarah undang-undang, Azmi Sharom berkata, seorang 'doktor' yang menjadi perdana menteri ke-4 negara menyebabkan kedaulatan undang-undang dan perlindungan diberikan kepada orang ramai 'gila'.
azmi-sharom-mahathir
KUALA LUMPUR: Pensyarah undang-undang, Dr Azmi Sharom berkata, Perlembagaan Persekutuan kini dalam koma dengan “kesihatannya” merosot sejak perdana menteri ke-4 mentadbir negara ini.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran sebuah buku mengenai perdana menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman.
Dr Mahathir Mohammad ialah perdana menteri ke-4 negara. Beliau didakwa “memusnahkan” badan kehakiman, mengawal kuasa diraja dan mengukuhkan cabang eksekutif dengan meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan agensi lain di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, selepas meninggalkan Umno buat kali ke-3 dan membentuk parti baru PPBM, Dr Mahathir disebut-sebut mungkin menjadi calon perdana menteri untuk memimpin pembangkang bagi menjatuhkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sekalipun pengerusi PPBM itu menolak sebarang peluang untuk kembali memegang jawatan nombor 1 negara itu.
“Saya menyifatkan kesihatan Perlembagaan Persekutuan dalam keadaan koma dan ia menjadi demikian kerana mereka yang menggantikan Tunku. Ia merosot khasnya selepas perdana menteri ke-4 (mengambil alih tampuk pemerintahan),” kata Azmi pada majlis pelancaran buku di Bangsar Village II, hari ini.
“Tunku ialah peguam. Beliau memahami nilai undang-undang, kedaulatan undang-undang dan perlindungan yang diberikan kepada rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kekurangan pemahaman itu dihadapi negara sekarang.
“Apabila anda menyerahkannya kepada doktor, semuanya kelam-kabut,” katanya yang lantang bersuara.
Azmi yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menghasut pada Februari 2016 berkata, Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada rakyat dari segi kebebasan bersuara dan beragama.
Katanya, walaupun beliau tidak mengenali Tunku secara peribadi, beliau percaya negarawan itu akan kecewa dengan “apa yang berlaku” di negara ini hari ini.
Azmi turut memuji Tunku sebagai “ciptaan pada zamannya” di mana integriti ialah sebahagian daripada sifat dimiliki manusia ketika itu.
Beliau juga menceritakan bagaimana Tunku mendekati seorang pemeriksa sekolah untuk menawarkan jawatan menteri pendidikan kepadanya.
Bagaimanapun, pemeriksa sekolah itu menolak tawaran Tunku kerana gaji seorang menteri tidak cukup untuk menyara 10 ahli keluarganya.
“Sekarang, politik dilihat sebagai satu cara untuk membuat duit dan saya tidak fikir konsep perkhidmatan wujud lagi.”
Turut hadir pada majlis pelancaran buku itu ialah Datuk Peter Velappan, salah seorang pentadbir bola sepak paling menonjol di Malaysia yang memberi penghormatan kepada Tunku – seorang peminat bola sepak.
Velappan berkata, selepas rusuhan pada 13 Mei 1969, Majlis Gerakan Negara yang mentadbir negara ini pada zaman darurat, membatalkan Pestabola Merdeka tahun itu atas faktor keselamatan.
Pestabola Merdeka diadakan setiap tahun sempena Hari Kebangsaan Malaysia, dan dahulu, ia disertai pasukan antarabangsa terkemuka dari seluruh rantau ini.
“Saya dihantar untuk menyampaikan mesej kepada Tunku yang ia sudah dibatalkan. Ketika itu, Tunku sedang pulih daripada jangkitan mata.
“Tunku berkata, ia adalah bodoh untuk membatalkan Pestabola Merdeka kerana bola sepak menyatukan rakyat,” kata Velappan.
Beliau berkata, Pestabola Merdeka yang diadakan selepas 1969 berjaya menyatukan rakyat Malaysia daripada semua lapisan untuk menyokong pasukan bola sepak negara dan membantu memulihkan negara selepas rusuhan 13 Mei.
Bekas setiausaha agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selama 30 tahun itu turut memuji belas kasihan Tunku.

Dana 2.6B: Bagaimana Shafie, Muhyiddin dapat lebih, Nazri dedah formula

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan formula bagaimana dua bekas pemimpin kanan parti itu - Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Muhyiddin Yassin - menerima dana dari wang derma RM2.6bilion lebih daripadanya.
Katanya Umno menyalurkan bantuan kepada kepada semua ketua bahagian untuk diserahkan kepada cawangan bagi membaiki lima buah rumah sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Saya adalah ketua Umno Padang Rengas dan ahli parlimen Padang Rengas. Shafie dan Muhyiddin pun sama macam saya juga. Jadi sebelum PRU13 kami ketua bahagian, kami dapat duit dari Umno Pusat untuk membaiki rumah.
“Setiap rumah diberi RM5,000 dan setiap cawangan diminta untuk memberi 5 biji rumah untuk dibaiki. Saya terima duit tu... jadi saya ada 60 cawangan Umno, jadi 60 darab 5 bagi rumah jumlahnya RM1.5 juta, saya terima melalui pusat khidmat.
“Saya kata Shafie terima lebih dari saya sebab kawasan Semporna banyak cawangan, ada lebih 200 ketua cawangan dan Muhyiddin seratus lebih ketua cawangan, saya cuma 60 je,” katanya kepada Malaysiakini sebelum Majlis Dialog TN50 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini Shafie mengetuai Semporna manakala Muhyiddin pula mengetuai Pagoh sebelum disingkirkan dari Umno.
Shafie hari ini menafikan beliau pernah menerima dana 1MDB ketika berada dalam Umno.
Ia selepas Nazri mendakwa Shafie dan Muhyiddin adalah penerima terbesar bagi mana-mana derma yang diterima oleh Najib.

49.9% saham Proton sah milik Geely China

Menteri kewangan II dijangka membuat pengumuman itu hari ini.
Johari-Abdul-Ghani-geely-chinaKUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd akan menjual 49.9% saham dalam Proton Holdings Bhd kepada pembuat kereta China, Zhejiang Geely Holding Group, menurut kenyataan syarikat itu yang dilihat Reuters.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung perjanjian itu tidak lama lagi.
Kenyataan itu yang tidak menyatakan nilai bagi perjanjian itu berkata, satu perjanjian dengan Geely dijangka dimeterai pada Julai ini.
Geely ialah syarikat induk kepada Geely Automobile Holdings Ltd yang berpangkalan di Hong Kong dan Volvo Car Group dari Sweden.
Syarikat lain yang turut berminat membeli ekuiti dalam Proton termasuk pembuat kereta Peugeot, PSA, Suzuki Motor Corp dari Jepun dan pembuat kereta Perancis – Renault SA.
DRB-Hicom meminta dagangan sahamnya digantung pada Selasa sementara menunggu pengumuman dibuat.

Kerajaan akan bayar balik RM1.1 bilion kepada Proton

Menteri kewangan II berkata, Proton perlu menanggung baki daripada keseluruhan RM3.5 bilion yang dibelanjakan untuk menjalankan R&D.
johari-drb-hicomPUTRAJAYA: Kerajaan akan membayar balik RM1.1 bilion yang dibelanjakan untuk geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada Proton Holdings Bhd, selepas penjualan 49.9% saham pembuat kereta nasional itu kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd selesai.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan hanya memberikan jumlah yang dianggap adil dan baki daripada keseluruhan RM3.5 bilion yang dibelanjakan untuk menjalankan R&D perlu ditanggung Proton.
“Kerajaan hanya bersetuju dengan jumlah yang kami fikirkan adil dan pembayaran itu akan dibuat selepas proses perkongsian strategik asing selesai,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara DRB-Hicom dan Geely, hari ini.
Selain 49.9% saham dalam Proton, perjanjian perkongsian strategik asing antara DRB-Hicom dan Geely itu turut menyaksikan pembuat kereta China itu memperoleh 51% majoriti saham Lotus daripada Proton.
“Hasrat kami ialah sentiasa memastikan pengukuhan semula nama Proton. Perjanjian ini akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan jenama yang rakyat Malaysia kenal.
“Tetapi, ia masih tertakluk kepada kawal selia dan kelulusan pemegang saham,” kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.
Katanya, DRB-Hicom bercadang menjual baki 49% kepentingan dalam Lotus.
“Dengan ini, DRB-Hicom tidak akan berada dalam segmen kereta sport lagi,” katanya sambil menambah kedua-dua pihak dijangka memeterai satu perjanjian muktamad sebelum akhir Julai ini.
Syed Faizal juga memberi jaminan pekerja Proton tidak akan diberhentikan dan Geely akan membantu jenama itu berkembang untuk mencapai sasaran 500,000 kereta di Asia Tenggara menjelang 2020.

I-CPI: KAJISELIDIK POPULARITI PERDANA MENTERI DAN CALON PERDANA MENTERI PEMBANGKANG



















Syarikat China rakan kongsi Proton Holding



Syarikat DRB-Hicom akan menjual 49.9 peratus ekuiti dalam Proton Holding kepada syarikat pembuat kereta China, Kumpulan Geely Holding.
Menurut DRB-Hicom, yang dipetik oleh portal The Star kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dan akan memeterai Perjanjian Definitif pada Julai 2017.
Syarikat bermasalah itu juga dilaporkan akan menjual semua kepentingannya dalam syarikat pembuat kereta British, Lotus kepada Geely.
"Perjanjian itu juga akan menyaksikan Proton menjual keseluruhan ekuitinya dalam Lotus kepada Geely Holding, yang akan melihat kumpulan itu tidak lagi akan berkecimpung dalam segmen kereta sport," kata DRB-Hicom.
Dengan keputusan itu, Geely yang menguasai Geely Automobile Hong Kong dan Kumpulan Kereta Volvo Sweden menjadi pemilik kereta nasional negara yang diasaskan pada tahun 1983 oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.
Geely Holding, yang juga memiliki The London Taxi Company, adalah antara syarikat pembuat kenderaan penumpang terkemuka di China.
Ia mempunyai kemudahan di sebahagian besar dunia, termasuk 16 kilang pembuatan, tujuh studio reka bentuk dan lima pusat penyelidikan dan pembangunan.
Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar dipetik berkata, perjanjian itu bagi memastikan jenama Proton akan terus berkembang.

Kaedah pengampunan Diraja, PRK bolehkan Anwar jadi PM ke-7, kata Rafizi


Rafizi Ramli Rafizi Ramli PKR tetap berpendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon terbaik untuk diangkat menjadi Perdana Menteri ke-7, sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRU14 nanti.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, walaupun Anwar masih berada di penjara namun parti itu 'ada cara' untuk menjadikan beliau perdana menteri yang seterusnya.
"Persoalan siapa Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang: jawapan kami adalah jelas, Perdana Menteri setelah Pakatan Harapan menang adalah Anwar Ibrahim.
"Kaedah Pengampunan Diraja ada walaupun nampak sukar tetapi rakyat tahu ada kaedah pengampunan diraja yang boleh digunakan dan membolehkan Anwar dibebaskan segera dan bertanding segera dalam pilihanraya kecil.
"Kaedah ini ada digunakan dalam kes-kes ehsan untuk membebaskan pesalah, apatah lagi dalam kes Anwar Ibrahim ia satu kes fitnah yang jelas oleh musuh politik beliau yang mahu menghentikan kemaraan rakyat menuntut perubahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sahabat-sahabat di dalam DAP dan Amanah pernah bersetuju agar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi Perdana Menteri interim (mewakili Anwar Ibrahim) sementara usaha pembebasan Anwar Ibrahim dilakukan melalui kaedah pengampunan diraja.
"Saya yakin dalam masa sebulan dari tarikh kemenangan PRU14 Anwar Ibrahim boleh dibebaskan dengan cara ini dan sebulan kemudian terus bertanding dalam sebuah pilihanraya kecil sebelum mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri," katanya.

Majlis Presiden PH harus pilih calon PM terbaik, Anwar PM ke-8, kata Salahuddin


Salahuddin AyubSalahuddin Ayub
Majlis Presiden Pakatan Harapan mesti memilih calon Perdana Menteri terbaik untuk merangsang kepercayaan rakyat untuk menang PRU ke-14 dan mengangkat sumpah sebagai PM ke-7,kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
Beliau menegaskan, Pakatan Harapan mempunyai barisan kepimpinan yang hebat dan berpengalaman dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri ke-7.
Namun sekiranya Pakatan Harapan mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai PM, Anwar adalah PM ke-8 bukan ke-7.
"PM ke-7 akan bertanggung jawab membentuk kabinet baru, melakukan reformasi urus tadbir negara dan berusaha untuk mendapatkan pengampunan DSAI.
"PM ke-7 boleh saja Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad), DSWA (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail), TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu. Yang penting mereka teguh dengan sifat amanah.
"Inilah masanya rakyat mahu melihat kebijaksanaan pimpinan utama PH tampil untuk menyelesaikan isu negara dan rakyat. Duduklah berunding demi kepentingan rakyat dan kemudian barulah berlunjur untuk berkhidmat mereformasi negara.," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai Kongres PKR ke-12 yang diadakan baru-baru ini yang sekali lagi mengangkat nama Anwar  sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN bukanlah perkara baharu.
"Sekiranya kita sebagai pengamal, penggiat, peminat dan pemerhati politik, isu DSAI dinobatkan sebagai calon PM bukan kedengaran sehari dua tetapi telah bermula sejak PRU ke-10 iaitu tahun 1999.
"Ianya bukan isu baharu. Ianya adalah impian yang tidak kunjung padam PKR terhadap mestronya. Itu adakah hak mutlak demokrasi PKR.
"Ada yang marah dan tidak puas hati terhadap apa yang berlaku semasa kongres PKR sekiranya kita adalah seorang demokrat tulen tidaklah sukar untuk kita memahami segala tingkah laku dan gelora rasa setiap perwakikan dan ahli mana-mana entiti siasah di bumi ini," ujarnya.
Pada Ahad, perwakilan PKR yang hadir dalam kongres tersebut sebulat suara memilih Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara sebagai Perdana Menteri ke-7 dengan mempamerkan sepanduk yang berbunyi "Anwar PM ke-7."
Bagaimanapun tindakan barisan pimpinan Pakatan Harapan seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu dilihat turut memegang sepanduk sama kecuali Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berbuat perkara sama.
Situasi yang dirakamkan itu menimbulkan perdebatan khalayak dan pemerhati politik terutama pimpinan BN yang berpandangan ia sesuatu kecelaruan ditonjolkan oleh Pakatan Harapan.
Kata Salahuddin lagi, mana-mana parti berhak untuk berbuat demikian sebagaimana dilakukan PKR dalam konvensyen anjuran parti itu pada Ahad.
"Esok atau lusa DAP, PPBM dan Amanah pula sampai giliran untuk mengadakan  konvensyen dan  perhimpunan agung masing-masing.
"Siapa yang berani menidakkan akan ada nama-nama lain selain DSAI yang bakal dinamakan sebagai calon PM? Sama ada nama-nama yang dicadangkan itu layak atau tidak itu adalah persoalan lain.
"Jangan kita nafikan hak dan kehendak mana-mana parti. Jadilah seorang demokrat yang sebenarnya," ujarnya.

KAJISELIDIK POPULARITI PERDANA MENTERI DAN CALON PERDANA MENTERI PEMBANGKANG oleh I-CPI


LATAR BELAKANG
Penganalisa politik berpendapat untuk menang PRU14, Pakatan Harapan (terutamanya) perlu menamakan calon Perdana Menteri. Kegagalan mempersetujui seorang calon Perdana Menteri sering dirujuk oleh penganalisa politik sebagai kelemahan Pakatan Harapan.
Perkembangan politik mutakhir dengan kemasukan PPBM menyertai Pakatan Harapan dilihat menyulitkan lagi sebarang usaha untuk mempersetujui seorang calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan.
Kajiselidik ini dibuat untuk mendapatkan data yang mewakili semua lapisan pengundi (mengikut kaum, jantina, umur dan negeri) untuk menjawab soalan-soalan berikut:
i. Berapa ramai rakyat Malaysia yang masih mahu Dato’ Seri Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri?
ii. Bagaimana populariti pimpinan terkanan pembangkang dari KEADILAN, PAS dan PPBM sebagai calon Perdana Menteri?
iii. Adakah isu siapa Perdana Menteri dari Pakatan Harapan adalah faktor penting yang mempengaruhi undi kepada Pakatan Harapan?
KAEDAH DAN SAMPEL
17,962 orang pengundi berdaftar di seluruh negara ditemuramah di dalam bahasa ibunda masing-masing atau bahasa Melayu.
Kajiselidik melibatkan temuramah melalui telefon di antara analis kajiselidik (penemuramah) dan pengundi (ditemuramah) menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kajiselidik dijalankan selama lebih tiga bulan dari 6 Februari 2017 ke 23 Mei 2017.
Pengundi dipilih dan didail secara rawak oleh sistem kajiselidik berkomputer INVOKE. Seramai 2.8 juta orang pengundi berdaftar didail secara rawak. Dari jumlah itu, 168,796 orang pengundi mengangkat telefon dan 17,962 orang pengundi menjawab kesemua soalan yang ditanya.
Keputusan hasil dari kajiselidik melibatkan 17,962 orang pengundi berdaftar ini kemudiannya diterjemahkan kepada keputusan nasional mengikut agregat seperti berikut:
i. Keputusan 17,962 orang pengundi diagregatkan mengikut umur, jantina dan kaum supaya melambangkan taburan demografi pengundi di seluruh negara
ii. Keputusan 17,962 orang pengundi diagregatkan mengikut taburan pengundi di setiap negeri supaya melambangkan kedudukan kerusi parlimen di seluruh negara
Pengundi ditanya soalan-soalan berikut:
Soalan 1
Adakah anda setuju atau tidak setuju dengan apa yang Najib Razak lakukan sekarang sebagai Perdana Menteri?
a) Setuju
b) Tidak Setuju
c) Tidak tahu (Jangan Baca)
Soalan 2

a) Najib Razak
b) Mahathir Mohamad
c) Anwar Ibrahim
d) Muhyiddin Yassin
e) Mukhriz Mahathir
f) Hadi Awang
g) Azmin Ali
h) Rafizi Ramli
i) Nurul Izzah
j) Wan Azizah
k) Lain-lain (Jangan Baca)
l) Tidak tahu, tidak pasti (Jangan Baca)
m) Enggan memberi jawapan (Jangan Baca)
Antara yang berikut yang manakah menjadi pilihan anda sebagai Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya?
KEPUTUSAN
Keputusan terperinci dan angka-angka adalah seperti di dalam slaid yang dilampirkan.
PEMERHATIAN UTAMA
1. Hanya 3 dari 10 rakyat Malaysia menamakan Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri pilihan mereka selepas PRU14
2. Lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan tindakan Dato’ Seri Najib berbanding yang berpuas hati
3. Lebih satu pertiga dari responden yang bersetuju dengan tindakan Dato’ Seri Najib tidak menamakan beliau sebagai Perdana Menteri
4. Pola populariti Dato’ Seri Najib hampir sama dengan pengundi dari ketiga-tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India
5. Dato’ Seri Anwar adalah calon yang paling popular di kalangan pemimpin pembangkag yang mendapat sokongan dari semua kaum.

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli
24 Mei 2017
Bagi pihak INVOKE

Rafizi umum Anwar ‘pilihan pengundi’ untuk jadi PM

Naib presiden PKR itu turut mengumumkan dirinya antara 9 pemimpin pembangkang yang menjadi pilihan pengundi.
rafiziKUALA LUMPUR: Di tengah-tengah perang mulut antara Rafizi Ramli dan pemimpin pembangkang lain mengenai calon perdana menteri, naib presiden PKR itu hari ini mengumumkan hasil kaji selidik yang mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin pilihan pengundi untuk jawatan tersebut.
Kaji selidik oleh badan pengkaji Invoke Malaysia yang dipimpinnya itu dijawab 65.6% daripada sejumlah 17,962 orang, manakala 34.4% memilih tidak menjawab.
Kira-kira satu pertiga (31%) daripada mereka yang disoal mahu mengekalkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, manakala 34.6% membuat pelbagai pilihan daripada pemimpin pembangkang.
Kaji selidik yang diumumkan Rafizi itu menyenaraikan 9 pemimpin pembangkang, termasuk dirinya, mewakili PKR, PPBM dan PAS, manakala tidak ada pemimpin dari Amanah mahupun DAP yang merupakan sebahagian Pakatan Harapan.
Anwar mendapat sokongan paling banyak, iaitu 23.5%, diikuti Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan undian 17.6%.
Manakala Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pilihan ke-3 popular (16.5%) diikuti Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (12.6%).
Hasil yang diumumkan Rafizi juga menunjukkan dirinya lebih popular mengatasi Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir (8.4%), Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (4.5%), Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (3.5%) dan Nurul Izzah Anwar (2.6%).rafizi1
Kaji selidik itu yang dijalankan selama lebih 3 bulan sejak 6 Februari sehingga 23 Mei.
Rafizi lebih popular daripada Azmin, Wan Azizah
Di kalangan pengundi Melayu, Hadi menerima jumlah undi paling tinggi iaitu 29%, diikuti Dr Mahathir di tempat ke-2 sebanyak 18%. Ia diikuti Muhyiddin (15%), Anwar (14%), Mukhriz (12%).
Di kalangan Melayu, Rafizi disenaraikan lebih popular daripada pemimpin PKR lain, dengan undian 6%, meninggalkan Azmin (4%) dan Wan Azizah (1%).
Di kalangan pengundi Cina pula, Anwar mendahului calon lain, dengan jumlah sokongan sebanyak 35%.

SATU LAGI KEPELIKAN DI SELANGOR

Berikut adalah kenyataan media Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam tadi berhubung kedudukan tiga Exco Pas yang enggan melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan negeri Selangor, meskipun kedua-dua parti tiada lagi hubungan politik.

Kenyataan Media

Biro Politik KEADILAN malam ini telah mendengar taklimat dari YAB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, berhubung situasi di Negeri Selangor ekoran keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi di antara PAS dengan KEADILAN.

Biro Politik KEADILAN mengambil maklum penjelasan yang diberikan YAB Dato' Menteri Besar Selangor bahawa, walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari PAS telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga, dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato' Menteri Besar Selangor YAB Dato' Seri Azmin Ali.

Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU 14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU 13.

Biro Politik KEADILAN yakin terhadap kepimpinan YAB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus menerajui Kerajaan Negeri sebagai Dato' Menteri Besar Selangor dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
23 Mei 2017.


Jelas kini bahawa tiga Exco Selangor daripada Pas akan terus memegang jawatan masing-masing, sekurang-kurangnya sehingga PRU 14 akan datang diadakan.

Selepas Pas berkeras tidak mahu meletakkan jawatan mereka, nampaknya PKR  juga tiada keberanian untuk menyingkirkan tiga Exco berkenaan.

Maka, bukan saja tiga Exco berkenaan terus kekal menerima gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan lain daripada kerajaan Pakatan Harapan yang Pas tiada hubungan dengannya, bahkan lebih 5,000 penjawat yang lain yang terdiri daripada ketua kampung, ahli jawatankuasa surau dan masjid, pelbagai jawatan lain dalam majlis perbandaran, majlis daerah dan GLC milik kerajaan negeri masih boleh terus bergembira dengan gaji yang diterima.

Alasan yang diberikan Azmin dalam penjelasannya ialah sebagaimana perenggan kedua kenyataan media Biro Politik  yang antara lain berbunyi, "walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari Pas telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Dato' Menteri Besar YAB Datuk Seri Azmin Ali."

Dengan kata lain, dua asas yang menjadikan tiga Exco itu dikekalkan ialah kerana mereka sedia menyokong dasar kerajaan negeri berasaskan Buku Jingga dan juga menyokong kepimpinan Azmin di Selangor.

Bukankah ini sesuatu yang pelik?

PM PRU14: Hanya 3 daripada 10 pilih Najib

 Rafizi Ramli
Rafizi bercakap pada sidang media Invoke Malaysia hari ini.
KUALA LUMPUR - Kaji selidik yang dijalankan oleh Invoke Malaysia menunjukkan hanya tiga daripada 10 rakyat Malaysia menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri pilihan mereka selepas PRU14.
Pengasas Invoke, Rafizi Ramli berkata, perkembangan itu menunjukkan Najib tidak popular dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menerajui negara selepas pilihan raya akan datang.
Menurutnya, dalam kajian itu lebih daripada 50 peratus responden yang dihubungi secara rawak menolak Najib.
"Sebanyak 69 peratus mengatakan pilihan 'Bukan Najib' untuk menjadi  perdana menteri yang seterusnya," katanya dalam sidang medianya di sini hari ini.
Sementara itu, katanya sebanyak 44 peratus didapati tidak bersetuju dengan apa yang Najib lakukan sekarang sebagai perdana menteri.
Katanya lagi, dapatan kaji selidik itu juga menunjukkan lebih ramai yang tidak bersetuju dengan prestasi Najib sebagai perdana menteri.
Kaji selidik melibatkan temuramah melalui telefon di antara analis kaji selidik (penemuramah) dan pengundi (ditemuramah) menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
Kaji selidik dijalankan selama lebih tiga bulan dari 6 Februari 2017 ke 23 Mei 2017.
Pengundi dipilih dan dihubungi secara rawak oleh sistem berkomputer Invoke.
Seramai 2.8 juta orang pengundi berdaftar dihubungi secara rawak.
Dari jumlah itu, 168,796 orang pengundi mengangkat telefon dan 17,962 orang pengundi menjawab kesemua soalan yang ditanya.
Keputusan hasil dari kaji selidik melibatkan 17,962 orang pengundi berdaftar ini kemudiannya diterjemahkan kepada keputusan nasional mengikut agregat.
Keputusan 17,962 orang pengundi diagregatkan mengikut umur jantina dan kaum supaya melambangkan taburan demografi pengundi di seluruh negara.
Ia juga diagregatkan mengikut taburan pengundi di setiap negeri supaya melambangkan kedudukan kerusi Parlimen di seluruh negara.

AMANAH dakwa Najib heret M'sia ke kancah bahaya

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula telah mengheret Malaysia kepada satu blok Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS).
"Apa yang dibuat oleh Najib telah meletakan Malaysia sebagai sebuah negara memihak. Maka, Malaysia tidak lagi dapat memainkan peranan dalam konflik di Iraq, Syria, Yaman bahkan di Palestin sendiri kerana sikap memihak kepada Amerika dan Saudi itu.
"Di (rantau) Asia Tenggara pula, sedang berlaku perebutan kuasa perairan terutama sekali antara China dan AS," katanya dalam kenyataan.
Justeru, jelas beliau, Malaysia yang menjadi sebuah negara yang memihak kepada AS dan meletakkan negara dalam kancah tidak baik untuk memberi pandangan berkecuali.
Dalam jangka masa panjang, Najib didakwa membawa negara ke satu blok yang akan mengundang bahaya kepada Malaysia dan rakyat seluruhnya.
Baru-baru ini, Najib bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan lebih 50 pemimpin negara majoriti Islam menghadiri majlis perasmian Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis di Riyadh.
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Trump merasmikan pusat berkenaan yang bertujuan menangani penyebaran ideologi ekstremis di alam maya di Mu'tamarat Nasiriyah.
Pusat berkenaan juga bagi menentang dan mencegah penyebaran ideologi ekstremis dengan menggalakkan kesederhanaan, belas kasihan dan menyokong penyebaran agenda positif.
Mengulas lanjut, Mohamad yang popular dengan gelaran Mat Sabu berkata, beliau amat berharap agar Pakatan Harapan (HARAPAN) dapat kembalikan peranan Malaysia sebagai negara berkecuali jika ditakdirkan mengambil alih Putrajaya.
"HARAPAN diharap dapat meletakkan Malaysia kepada pendamai antarabangsa dan bukan memihak kepada negara-negara dalam pertikaian," jelas beliau.

Pas majukan Gagasan Sejahtera saat pihak lain celaru

Pas menjalinkan kerjasama dengan parti Ikatan Malaysia Ikatan membentuk Gagasan Sejahtera tahun laluPas menjalinkan kerjasama dengan parti Ikatan Malaysia Ikatan membentuk Gagasan Sejahtera tahun lalu
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini masa terbaik untuk partinya memajukan Gagasan Sejahtera sementara pihak lain terus bercelaru dan bertelagah.
Beliau yang kini memangku tugas presiden menegaskan, tumpuan utama Gagasan Sejahtera adalah untuk melawan BN, dan menjadi satu wadah alternatif bertunjangkan Islam kepada rakyat.
"Gagasan Sejahtera akan mementingkan kedamaian dan mengambil peranan semak dan timbang yang sepatutnya dan bukannya bantah atau sokong melulu terhadap satu-satu isu.
"Gagasan Sejahtera akan menjadi pengimbang antara kedua-dua belah yang terlalu mengejar kuasa sehingga matlamat menghalalkan cara. Insha-Allah," katanya dalam kenyataan hari ini.
PH bertarung sesama sendiri
Mengulas mengenai Pakatan Harapan beliau berkata perbalahan daripada pilihan raya negeri Sarawak yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri sehingga perebutan antara siapa yang layak menjadi perdana menteri ke-7 hari ini adalah bukti Pakatan Harapan lebih sibuk bertarung sesama sendiri.
"Pas dituduh kononnya menjadi punca kepada percanggahan di dalam Pakatan Rakyat dahulu. Tanpa Pas, pelbagai percanggahan juga berlaku dalam pelbagai isu yang kini melanda Pakatan Harapan. Jadi jelasnya, tuduhan terhadap Pas tidak benar.
"Pertarungan di dalam PH dijangka lebih hangat apabila tibanya masa untuk berebut kerusi," katanya.
Menurut beliau, Pakatan Harapan hanya berdiam diri apabila PKR mengisytiharkan bahawa kerusinya tidak boleh diserahkan kepada sesiapa sebaliknya mendakwa Pas bongkak apabila mengisytiharkan perkara yang sama dahulu.
"PKR telah mengisytiharkan bahawa kerusi PKR tidak boleh diserahkan kepada sesiapa. DAP dijangka akan menggunakan logik yang sama untuk mempertahankan kerusi yang sudah ditandinginya.
"Peliknya pengumuman ini sama seperti apa yang diisytihar Pas.
"Cuma ketika Pas umum, Pas dituduh sebagai bongkak oleh parti-parti komponen PH manakala mereka yang sama ini kini terpaksa berdiam diri terhadap pendirian PKR," bidasnya.
Mempertahankan tindakan Pas itu, beliau berkata, Pas juga telah mengisytihar bahawa mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon di kerusi tradisi Pas bermakna memberi tongkat kepada Umno-BN.
Justeru kata beliau, PKR dan DAP akan turut membuat pengisytiharan yang sama tidak lama lagi.
"Itu tidak pelik, kerana itulah realitinya, dan Pas telah mendepani realiti tersebut lebih awal," katanya.
BN ulang skrip perkauman
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, BN sedang bimbang mengenai kos sara hidup yang semakin disedari rakyat sehingga terpaksa mengalihkan perhatian rakyat kepada isu perkauaman.
Menurut beliau, Menteri BN Datuk Seri Mustapa Mohamed sendiri berkata kos sara hidup menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pengundi Malaysia dan dijangka menjadi satu topik pada kempen pilihan raya umum.
"Sebenarnya itu adalah kebimbangan BN sebenar. Segala statistik ekonomi yang dilihat memberangsangkan mahupun berita-berita positif bahawa ekonomi Malaysia sedang berkembang tidak dapat dirasai rakyat Malaysia secara umum.
"Mata rakyat sedang menyaksikan banyaknya kedai yang terpaksa ditutup kerana suasana ekonomi yang lembap, mengalami keadaan sukar untuk menyimpan wang kerana segala jenis kos barangan dan makanan rata-rata sudah meningkat tinggi dan penggangguran di kalangan mahasiswa semakin bertambah. GST terus dirasai sebagai cakar tajam yang sedang mencengkam bahu rakyat setiap saat.
"Untuk mengalihkan pandangan rakyat, seperti biasa akan tetiba timbul pelbagai drama yang melibatkan kaum dan bangsa yang menyebabkan rakyat bertelagah sesama sendiri. Sebagai contoh, satu insiden tampar sudah cukup untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada masalah kos sara hidup," katanya.

PKR Kelantan kumpul surat letak jawatan undur dari kerajaan PAS

Ada kemungkinan pendirian Azmin mengekalkan exco PAS di Selangor akan mempunyai kesan terhadap ahli PKR dalam pentadbiran Kelantan.
Ab-Aziz-Ab-Kadir_pkr_pas_600
PETALING JAYA: Ahli PKR dalam pentadbiran Kelantan pimpinan PAS kini sedang giat bersiap sedia untuk menyerahkan peletakan jawatan mereka.
Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata ahli PKR yang dilantik kerajaan Kelantan juga tidak menghadiri majlis angkat sumpah bagi mematuhi arahan PKR pusat supaya berundur daripada pentadbiran.
“Setakat ini PKR negeri sedang mengumpul semua surat peletakan jawatan ahli yang dilantik untuk diserahkan secara rasmi,” katanya kepada FMT.
Pada 17 Mei lalu, PKR mengarahkan semua ahli partinya yang dilantik dalam dalam pentadbiran kerajaan Kelantan meletak jawatan serta merta.
Ia susulan keputusan PAS membatalkan kerjasama politik dengan PKR.
Keputusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan jawatan negeri yang disandang pemimpin PAS di Selangor di bawah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Biro Politik PKR malam tadi bersetuju dengan keputusan Azmin untuk mengekalkan status 13 Adun PAS termasuk 3 exco dalam pentadbiran Selanhor.
Ab Aziz berkata susulan keputusan mengekalkan exco PAS, pihaknya tidak menolak kemungkinan pendirian sama dibuat melibatkan ahli PKR dalam pentadbiran Kelantan.
Bagaimanapun, beliau berkata PKR Kelantan belum menerima arahan baharu daripada parti supaya ahlinya kekal dalam pentadbiran Kelantan.
“Jadi keputusan terbaharu (untuk kekal di Kelantan) kita belum terima apa-apa arahan daripada pusat lagi, kalau kita terima arahan berbeza kita akan buat keputusan lain, selagi tidak ada keputusan baharu kita guna yang dahulu.”

Merungkai TRX dan Bandar Malaysia

Bandar Malaysia menjadi tajuk utama sejak kerajaan memutuskan untuk membatalkan perjanjian penjualan 60 peratus daripada projek berkenaan kepada sebuah konsortium usaha sama Johor dan China.
Sebelum ini, Bandar Malaysia dan projek kembarnya Tun Razak Exchange (TRX) turut dikaitkan dalam kemelut skandal 1MDB.
Malaysiakini cuba merungkai kedua-dua projek itu untuk memahami apa rancangan kerajaan dan masalah yang dihadapai oleh projek tersebut.
Apa itu TRX dan Bandar Malaysia?
Bandar Malaysia dan TRX adalah projek berkembar yang terletak kira-kira lima kilometer antara satu sama lain yang diuruskan oleh TRX City Sdn Bhd - firma itu sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd.

Terletak di persimpangan Jalan Tun Razak dan Jalan Sultan Ismail, TRX dirancang untuk menjadi sebuah daerah kewangan antarabangsa.
Menurut laman webnya, pelan induk untuk pembangunan seluas 28 hektar itu akan menyaksikan sekurang-kurangnya empat "pelaburan gred A" menara pejabat, dua hotel lima bintang, enam menara kediaman bertaraf mewah, sebuah pusat membeli-belah dan sebuah taman bandar yang besar.
Pada asasnya, TRX sepatutnya memacu menjadi Midtown Manhattan, New York, versi Malaysia - rumah kediaman tokoh kewangan gergasi AS.
Antara syarikat yang telah melabur dalam TRX adalah Mulia Property Development Sdn Bhd, Affin Bank, Lembaga Tabung Haji, WCT Precious Development Sdn Bhd dan Kumpulan Lendlease.
Lendlease sedang membangunkan Lifestyle Quarter kawasan seluas 17 ekar di TRX berdasarkan usaha sama 60-40 dengan TRX City. Pembangunan itu akan menempatkan Tower Signature, yang bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Bandar Malaysia akan dibangunkan di lokasi bekas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai visi besar untuk pembangunan bercampur di kawasan seluas 194ha itu, yang katanya mesti ada “kandungan yang besar, nilai budaya yang hebat, dan tarikan hiburan besar."
Antara lain, Najib mahu ia menjadi KL Internet City baru - hab utama Zon Perdagangan Bebas Digital yang pertama di dunia.
Beliau juga mahu Bandar Malaysia menjadi hab pengangkutan, yang menempatkan stesen Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, MRT dan sambungan ke KTM Komuter, Airport Express Rail dan dua belas lebuh raya.
Sehingga artikel ini ditulis, pemaju induk bagi projek itu masih belum dilantik, walaupun kumpulan Dalian Wanda dari China dikatakan akan mendapat projek tersebut.
Pangkalan TUDM juga belum dipindahkan.