Khamis, 15 Jun 2017

Azalina tolak dakwaan BTN bersifat perkauman

Perubahan terhadap BTN sejak tahun lalu termasuk penyertaan pelbagai kaum di samping wakil pembangkang.
btn-azalina-othman-malaysiaPETALING JAYA: Putrajaya menafikan dakwaan program Biro Tata Negara (BTN) bersifat perkauman, sebaliknya berkata ia bertujuan meningkatkan jati diri dan semangat cintakan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mengulas dakwaan Amanah semalam, berkata kerajaan juga sudah pun menjalankan “penjenamaan” semula BTN supaya mencerminkan kepelbagaian kaum dan bebas daripada politik parti.
“Pada awal tahun 2016, saya telah membentuk satu panel khusus bagi penjenamaan semula BTN yang ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada Majlis Profesor Kebangsaan dan ahli Parlimen termasuk seorang wakil daripada pihak pembangkang,” katanya.
Semalam, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata BTN bertanggungjawab menyemai keganasan melalui program yang bersifat perkauman dan menghentam pemimpin yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah.
Salahuddin berkata 70% modul BTN menjurus kepada kebencian perkauman dan agama, dan hanya 30% benar-benar melibatkan tatanegara.
Azalina berkata tuduhan itu tidak berasas, dan berkata pembangkang hanya mahu bermain politik.
“Dakwaan yang dibuat itu juga menunjukkan yang pemimpin Amanah itu tidak pernah menghadiri kursus BTN,” katanya.

Kos Maruah Bangsa

 oleh Tun Mahathir
1. Bangsa yang tidak hargai maruah bangsa tidak akan dihormati oleh masyarakat dunia. Lebih dari itu bangsa itu tidak akan berjaya, akan dihina dan dipermain oleh bangsa-bangsa lain di dunia.
2. Kita berjuang untuk dapat kemerdekaan kerana hasrat menebus maruah, dan menebus kuasa yang boleh menentukan maruah kita terpelihara.
3. Sebenarnya jalan yang termudah dan tidak ada kos ialah dengan menerima penjajahan dan menjadi hamba kepada orang lain. Tetapi banyak negara yang penduduknya sanggup bermati-matian untuk mencapai kemerdekaan, menebus maruah.
4. Kita di Malaysia tidak perang walaupun terpaksa melawan pengganas yang ingin mendiri pemerintahan komunis di Semenanjung Tanah Melayu. Kita menang dan kita dapat memerintah negara kita. Kita pilih demokrasi sebagai cara untuk memulih maruah kita. Saya fikir buat beberapa dekad kita berjaya. Nama Malaysia terserlah dikenali di dunia dan dihormati.
5. Walaupun demikian itu belum mencukupi. Kita ingin menjadi negara maju menjelang 2020. Untuk ini kita bukan sahaja perlu tingkatkan pendapatan kita. Kita perlu miliki kebolehan dalam pelbagai bidang yang terdapat dalam negara maju. Di antaranya ialah bidang industri. Belum ada negara pertanian atau negara yang kaya dengan sumber alam yang ditakrif sebagai negara maju.
6. Kita pilih industri kereta bermotor sebagai catalyst (umpan) untuk tingkatkan kebolehan dan kemajuan kita dalam industri pembuatan. Industri kereta memerlukan komponen engineering sebanyak 4000. Sedikit demi sedikit kita akan menguasai bidang industri pembuatan kerana membekal komponen.
7. Dengan menjual Proton kita mengaku kita gagal dan kemajuan ke arah menjadi Malaysia sebagai negara maju terencat.
8. Ya. Maruah mempunyai kos. Kita mampu jika Kerajaan tidak menggunakan cukai ke atas rakyat untuk membeli sokongan melalui rasuah. Duit sebanyak 1.7 billion Ringgit yang kononnya diberi kepada Proton tidak sampai kepada Proton, setakat yang dapat diketahui.
9. Penjualan Proton dipaksa kerana dendam kesumat. Maruah tidak penting. Membalas dendam lebih penting.
10. Jika diteliti keuntungan perniagaan Malaysia hari ini, cukai yang dikutip tetap lebih tinggi dari zaman Proton laris dijual. Tetapi hutang Kerajaan membukit. Di mana pergi dana Kerajaan ini. Apakah ia telah masuk poket orang itu dan orang ini?

Pemimpin Umno sanggup berbohong untuk lindungi samseng bazar Ramadan

Dua pemimpin Umno yang mempertahankan tindakan samseng sekumpulan lelaki mengasari dan mengherdik ahli parlimen Kluang, Liew Chin Tong di bazar Ramadan dekat sini tempoh hari digesa memohon maaf kerana berbohong.
Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Adun Mahkota, Datuk Md Jais Sarday seperti dilaporkan media mendakwa kononnya DAP meminta agar bazar di mana insiden berkenaan berlaku dipindahkan ke kawasan lain pada 2007 sehingga membangkitkan kemarahan peniaga.
Bagaimanapun, Chin Tong dalam kenyataan balasnya menafikan dakwaan itu malah sebaliknya yakin parti komponen BN iaitu MCA sebagai dalang di sebalik cadangan perpindahan tersebut.
Beliau yang juga pengarah pendidikan politik DAP kebangsaan berkata, tidak mungkin DAP boleh mencadangkan pemindahan tersebut memandangkan parti itu tidak mempunyai kerusi di daerah berkenaan sebelum pilihan raya umum 2008.
Pengerusi MCA Kluang yang juga mantan Adun Mengkibol Gan Ping Sieu mengesahkan pernah menyuarakan kebimbangan peniaga mengenai lokasi bazar tersebut dan mencari alternatif lain pada 2007.
Penolong Setiausaha DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, kenyataan Ping Sieu itu sekaligus membuktikan bahawa Jais dan Razali berbohong.

“Perkara ini sangat mendukacitakan. Saya ingin bertanya kepada Jais dan Razali; di manakah letaknya kredibiliti anda sebagai seorang pemimpin politik dan masyarakat? Anda sanggup memfitnah, menyebarkan pembohongan. Di mana maruah anda?
“Pemimpin yang sanggup berbohong dan memfitnah tidak wajar sama sekali memegang amanah kepimpinan. Lebih baik mereka letak jawatan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga pembantu khas Chin Tong justeru menggesa Jais dan Razali memohon maaf secara terbuka ekoran fitnah yang dilemparkan terhadap DAP.
Dalam insiden sekitar jam 6.45 petang Sabtu lepas, sekumpulan lelaki bertindak samseng menghalau dan memaki hamun rombongan Pakatan Harapan yang mengedarkan kurma kepada pengunjung dan peniaga bazar.
Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong turut dikasari kumpulan tersebut sehingga kaca matanya terjatuh.

Tiada Dana: Wong Chen mohon maaf hentikan program kebajikan

Ahli Parlimen Kelana Jaya menghantar surat mohon maaf kepada 355 pemohon yang terkesan dengan pemberhentian program itu.
wong-chen-surat-maaf-kelana-jayaPETALING JAYA: Ahli Parlimen Kelana Jaya hari ini memohon maaf kepada penduduk yang memohon bantuan melalui program kebajikan kawasannya, yang dihentikan sehingga pemberitahuan kelak.
Wong Chen melalui surat kepada penduduk terkesan berkata “tindakan tertentu” oleh kerajaan Selangor menyebabkan mereka ketiadaan dana untuk menjalankan program tersebut.
Tidak lama kemudian di Facebook, Wong Chen berkata pejabatnya menghantar 355 surat kepada penduduk yang ditemubual untuk program Bulan Kebajikan 2017 minggu lepas.
Beliau berkata sekurang-sekurangnya itu sahaja yang mampu dilakukan pihaknya kerana pemohon bersusah payah mengunjungi pejabatnya untuk mendaftar dan ditemubual.
“Kebanyakan penduduk saya berkongsi tambang teksi untuk datang ke sini dari Desa Mentari,” katanya.
“Sekurang-kurangnya yang boleh kita lakukan ialah memohon maaf secara rasmi kepada mereka.”
Wong Chen akan mendapatkan nasihat peguam dan juruaudit untuk tindakan susulan.
Permohonan maaf itu dihantar 2 hari selepas beliau mengambil keputusan untuk menghentikan program Bulan Kebajikan.
Beliau mengumumkan pemberhentian itu di Facebook pada Selasa, mengatakan keputusan dibuat selepas kerajaan Selangor menghantar faks ke pejabatnya pada lewat petang Jumaat.
“Kami sedang menutup pejabat kami apabila pejabat saya menerima faks dari kerajaan Selangor. Selepas membincangkan perkara itu dengan kakitangan saya, kami mengambil keputusan untuk menghentikan program Bulan Kebajikan sehingga diberitahu kelak,” katanya.
Ketika dihubungi, beliau enggan mendedahkan isi kandungan faks itu.
“Tak boleh bercakap mengenainya. Kami tidak akan kelurkan kenyataan mengenai perkara itu,” katanya kepada FMT, dan menambah kebimbangannya sekarang ini adalah memaklumkan pemberhentian program itu kepada penduduknya.
Buat masa ini, pejabatnya akan menghentikan peruntukan untuk komuniti dan kembali tumpu kepada kerja penyelidikan dasar awam dan latihan penyelidikan dasar awam untuk siswazah.

'P. Pinang bandar Kristian': Senator jadi sasaran fitnah


Dr Ariffin Omar
Sentimen agama dan kaum terus ditiup pihak tertentu bagi menggugatkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Kali ini sasarannya Senator DAP, Dr Ariffin S.M Omar.
Laporan bertajuk "Apa Salahnya Pulau Pinang Jadi Bandar Kristian? – Dr Ariffin Omar" yang dimuat naik sebuah laman sesawang palsu telah  memutarbelit perbahasan Dr Ariffin dalam Sidang Dewan Negara, 19 April lalu dengan menyebut, "Senator lantikan parti DAP, Senator Dr. Ariffin S.M Omar berpandangan bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan jika Pulau Pinang menjadi Bandar Kristian".
Dr Ariffin ketika dihubungi menafikan dakwaan jahat itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.
Fitnah itu, katanya sengaja dibuat bagi mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada masalah sebenar yang membelenggu rakyat dan negara.
“Tak ada kerja lain. Ini sengaja timbulkan ketakutan. Mereka buat macam tu sebab tak mahu kita bahas mengenai isu rasuah, penyelewengan, isu pemimpin Umno tidak amanah dan seumpamanya,” katanya.
Menurut beliau, tindakan sesetengah pihak membangkitkan isu ‘Negara Kristian’ adalah usaha terdesak kerana perkara tersebut adalah mustahil memandangkan Islam adalah agama rasmi persekutuan yang termaktub dalam perlembagaan.
“Apa yang ditimbulkan itu mencerminkan satu pemikiran yang cetek. Benda tu kalau ada orang gila nak cadangkan pun, kena pinda perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Ariffin berkata celahan beliau terhadap ucapan Senator Tan Sri Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah mengenai dakwaan ‘Negara Kristian’ adalah berunsur sindiran bagi menegaskan bahawa orang yang membangkitkan hal terbabit adalah berakal pendek.
Menurut beliau, cadangan tidak masuk akal seperti itu tidak mungkin terlaksana kerana memerlukan pindaan terhadap perkara-perkara dasar Perlembagaan.
Berdasarkan hansard Dewan Negara  DN-19042017 mukasurat 56, laporan berniat jahat portal terbabit didapati tidak memberi gambaran sebenar perbahasan berkenaan.
Pembaca boleh merujuk kepada hansard  perbahasan Dewan Negara melalui pautan ini.
http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DN-19042017.pdf

BERITA GEMBIRA UNTUK MALAYSIA..PEROMPAK 1MDB MAKIN SENYAP...!!!

Di sebalik sikap berdiam diri Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atau DOJ yang agak lama sejak ia mengumumkan tindakan saman sivil untuk merampas harta-harta bernilai AS$1 bilion berkaitan dana 1MDB yang diselewengkan, ramai yang beranggapan atau setidak-tidaknya mengharapkan saman itu tidak  lagi menjadi kenyataan.

Kata mereka, DOJ hanya "main gempak" saja kerana ia  sebenarnya kekurangan bukti untuk proses yang seterusnya.
Dengan yang demikian, ramailah yang bertempik, barangkali kerana terlebih  dedak, tiada kesalahan dan penyelewengan dana 1MDB seperti yang didakwa itu.

Akhirnya, kata mereka, bukan saja 1MDB tiada kesalahan apa-apa, malah Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal kewangan syarikat pelaburan bermasalah itu  tetap suci bersih sifatnya.

Namun, dengan berita terbaru permohonan di mahkamah untuk merampas sebuah penthouse dan pejabat milik Jho Low di London oleh DOJ membuktikan mereka tidaklah duduk diam saja sebagaimana yang disangka, bahkan terus menyambung kerja-kerja yang belum sempurna itu.

Ia tentunya jauh sekali daripada kemungkinan menggugurkan kes tersebut.

Penthouse  bernilai £77 juta dan pejabat berharga £42 juta itu didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB yang diselewengkan, sama seperti harta-harta yang mahu dirampas DOJ sebelum ini.
"Low membeli penthouse dan pangsapuri di Stratton menggunakan hasil 1MDB. Low juga menggunakan dana yang dikesan diselewengkan daripada 1MDB untuk membeli pejabat di Stratton," kata DOJ dalam kenyataannya.

Selain itu, DOJ juga mengesan perbuatan Jho Low mencuci wang haram 1MDB yang diselewengkan sebanyak AS$50 juta dengan menggunakan sebuah syarikat tanpa aset untuk membantu pembelian sebuah syarikat tenaga, Coastal Energy bernilai AS$2.2 bilion pada 2013 dan 2014.

Bersama saman sivil sebelumnya dan yang terbaru ini, semua tindakan DOJ ini adalah berita gembira buat rakyat Malaysia yang  sekaligus juga pastinya membuatkan golongan pendedak terus tersedak dibuatnya.

Ini kerana tentu ada berita-berita lain yang terus mengilukan mereka akan muncul lagi selepas ini.
Dalam masa yang sama, meskipun  didakwa sudah mengupah seorang pelobi di AS sana, hajat Najib mahu berselfie dengan Donald Trump masih belum kesampaian jua.

Malah, berdasarkan gambar di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini, bukan saja berselfie tidak menjadi kenyataan, malah Trump langsung tidak menunjukkan kemesraannya terhadap Najib.

KITA NAK PERCAYA SIAPA?

Kata Salleh Said Keruak, apa saja yang dilaporkan oleh laman sesawang Sarawak Report mengenai negara ini adalah tidak benar.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar tidak mempercayai laporan-laporan yang dibuat oleh portal tersebut.

Betulkah  Sarawak Report tidak boleh dipercayai?
Jika laporan Sarawak Report mengenai dakwaan bahawa Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam Shafee Abdullah yang dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuan liwat 2 melibatkan Anwar Ibrahim adalah tidak benar, mengapa kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga ini?

Adakah terlalu sukar menyebut perkataan "tidak"  jika betul dakwaan itu tidak benar?

Adakah orang yang hanya tahu berdiam ketika dakwaan ditujukan kepada mereka lebih boleh dipercayai berbanding Sarawak Report yang terbuka untuk dibawa ke muka pengadilan bagi membuktikan kebenaran dakwaan yang dibuatnya?

Kiranya laporan Sarawak Report tidak benar dan tidak boleh dipercayai sebagaimana yang disebut oleh Salleh, bagaimana pula Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar boleh mengesahkan bahawa seorang suspek yang ditahan SPRM berhubung kes rasuah bagi melindungi aktivti judi haram dan rumah urut di Melaka adalah kenalannya sebagaimana yang didedahkan oleh portal berkenaan, sebagai betul.

Sarawak Report dalam pendedahannya mendakwa suspek berkenaan, Gopinathan Krishnan, adalah kenalan Khalid dan selalu berhubung dengannya melalui telefon.

Saya akui dia kenalan saya dan keluarga, kata Khalid.
Bagaimanapun, kata Khalid,  beliau tidak akan melindungi sesiapa yang berkawan dengannya jika mereka terlibat dengan aktiviti jenayah atau menyalahi undang-undang.

Maknanya, laporan Sarawak Report ada juga kebenarannya dan ia diakui oleh Khalid sendiri.

Maka, rakyat Malaysia harus percaya Sarawak Report atau tidak selepas ini?

RM9.5 Juta: Jangan bercakap seperti ketua balai, Hanipa tegur KPN

Clare Rewcastle Brown
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu lebih serius untuk mendapatkan keterangan editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown bagi menyiasat dakwaan pembayaran RM9.5 juta oleh perdana menteri kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah dan tidak membuat kenyataan seperti ketua balai kampung.
Mohamed Hanipa MaidinPengerusi Biro Undang-undang (Kanun) Parti Amanah Negara Mohamed Hanipa Maidin kesal dengan sikap berdolak dalih Khalid dalam isu ini dan mahukan penjelasan sama ada kertas siasatan mengenai kes berkenaan telah dibuka.
"Apabila saya membaca beberapa kenyataan Ketua Polis Negara berhubung isu seorang peguam senior dikatakan menerima RM9.5 juta daripada dana yang ada kaitan dengan 1MDB, saya rasa nanpak seperti tidak wujudnya keseriusan untuk menyiasat dakwaan Sarawak Report tersebut.
"Bila IGP meminta Claire untuk datang ke Malaysia dan tunjukkan bukti tapi dalam masa yang sama tidak boleh jamin laluan selamat ke atas Claire, sudah tentu ia membentuk persepsi bahawa saksi penting itu seolah-olah tidak dialu-alukan ke Malaysia untuk membantu siasatan," ujar Hanipa.
Menurut beliau, adalah sesuatu yang pelik jika kertas siasatan berhubung dakwaan Sarawak Report itu belum dibuka dan jika ianya telah dibuka, sepatutnya proses siasatan sudah bermula.
Sebagai saksi penting, katanya polis sepatutnya mengambil kenyataan Claire.
Malah tambah beliau, jika kedudukan geografi menjadi halangan, polis masih boleh meneruskan siasatan dengan mengambil kenyataan daripada peguam kanan terbabit, Peguam Negara dan Perdana Menteri.
"Pada hemat saya, keterangan mereka bertiga adalah penting dan wajar diambil untuk membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, jika Claire menghadapi kesukaran untuk datang ke Malaysia kerana ketua polis negara tidak boleh menjamin keselamatan beliau, pasukan penyiasat polis boleh pergi ke London untuk mengambil keterangan beliau.
"Isunya nak ke tak nak? Saya rasa KPN tidak boleh ketepikan begitu sahaja pendedahan Claire sebagai khabar angin kerana seperti Claire katakan, fakta yang didedahkan oleh Sarawak Report yang IGP mengenali suspek utama kes rasuah di Melaka dan keluarga beliau ada hubungan persahabatan dengan gengster pusat judi dan urut diakui oleh IGP sendiri.
"Justeru itu, nasihat saya kenyataan IGP biarlah betul betul profesional dan berwibawa bukan macam standard kenyataan ketua balai polis kampung sahaja," ujar Hanipa yang juga ahli parlimen Sepang.

INILAH BERITA YNG MENGGERUNKAN NAJIB

Pakatan Harapan yang bakal didaftarkan sebagai gabungan rasmi parti-parti pembangkang untuk menentang BN dalam pilihanraya umum akan datang, sudah hampir memuktamadkan persetujuan untuk meletakkan Tun Mahathir Mohamad sebagai pengerusinya.
Ia berikutan mesyuarat Biro Politik PKR yang bermesyuarat malam tadi sebagaimana diminta oleh Anwar Ibrahim untuk memutuskan perkara tersebut, difahamkan telah  bersetuju meletakkan bekas Perdana Menteri selama 22 itu tahun untuk mengetuai Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Persetujuan meletakkan Tun Mahathir tidak lain ialah agar PH dilihat lebih lebih kukuh, lebih aura dan lebih meyakinkan untuk mengalahkan Najib Razak dan seterusnya menyelamatkan negara selepas gabungan itu berjaya mengambil alih kerajaan nanti.
Menurut laporan sebuah portal, struktur yang dipersetujui untuk mengetuai PH ialah Tun Mahathir sebagai Pengerusi dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden, sementara Mohamad Sabu, Lim Guan Eng, Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali, masing-masing dinamakan sebagai Timbalan Presiden PH.
Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim yang masih berada di penjara pula diletakkan sebagai Penasihat PH.
Sebelum ini, parti-parti dalam PH berbeza pendapat dengan pelbagai pandangan yang berlainan mengenai struktur kepimpinan PH. Dalam mesyuarat Majlis Presiden PH minggu lalu, dilaporkan telah dibentangkan struktur Anwar sebagai Ketua Umum, Tun Mahathir sebagai Pengerusi dan dan Dr. Wan Azizah sebagai Presiden.
Bagaimanapun, PKR dikatakan tidak berani memberi persetujuan kerana ia berbeza dengan apa yang dipersetujui Anwar sebelum ini.
Bersatu pula dikatakan mahu Tun Mahathir sebagai Pengerusi dan Muhyiddin diletakkan sebagai Presiden PH bagi tujuan mewujudkan “tsunami Melayu”  dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, DAP melalui Lim Guan Eng tidak bersetuju Bersatu memegang kedua-dua jawatan penting itu kerana menggambarkan wujudnya monopoli sesebuah parti dalam PH.
Namun, Guan Eng bersetuju sekiranya Tun Mahathir diberikan satu peranan utama dalam PH untuk memungkinkan kebarangkalian lebih tinggi untuk mengalahkan Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya nanti.
Dengan persetujuan PKR terhadap struktur baru PH yang meletakkan Tun Mahathir sebagai Pengerusi dan Dr. Wan Azizah sebagai Presiden, DAP, Amanah dan Bersatu pastinya juga tiada halangan untuk bersetuju sama dengannya.
Inilah struktur terbaik PH yang mampu memberi keyakinan kepada semua  lapisan rakyat serta menampakkan cahaya terang bagi masa depan negara yang gemilang sebaik Najib, UMNO dan BN dapat ditumbangkan.
Struktur baru dengan Tun Mahathir mengetuai PH ini juga pastinya memberi ketakutan dan kegerunan kepada Najib. Segala ilmu, pengalaman dan strategi semasa mengungguli lima kejayaan dalam pilihanraya umum antara 1981 hingga 2003 dahulu, tentunya akan diguna dan disesuaikan semula oleh Tun Mahathir dan PH bagi tujuan menyingkirkan Najib yang dikenali sebagai kleptorat unggul di persada dunia.
Gambaran lain ialah masalah kepimpinan dalam PH sudah dapat diselesaikan dan ini juga memberi petunjuk beberapa perkara lain juga boleh diputuskan melalui perbincangan dan musyuwarah.
Melalui sosok Tun Mahathir sebagai “panglima perang”  untuk mengetuai PH dalam pilihanraya umum akan datang, Najib sudah boleh menghitung hari-hari terakhirnya sebagai Perdana Menteri kerana bukan saja Melayu, Cina, India dan semua kaum lebih meyakini beliau untuk memenangi pilihanraya, malah ia juga memberi kepercayaan yang tinggi kepada semua lapisan rakyat untuk meyakini bagaimana negara bakal dipulihkan ekonominya sebagaimana sentuhannya semasa berkuasa dahulu.
Yang paling dekat rakyat akan dapat melihat kesan menggembirakan mereka sebaik Najib, UMNO dan BN dikalahkan dan PH menguasai kerajaan ialah GST akan disifarkan, beberapa subsidi dikembalikan dan wang yang hilang,  termasuk berkaitan 1MDB akan segera didapatkan semula serta petualangnya di bawa ke muka pengadilan.
Adakah sesiapa masih mahu menolak cahaya yang bakal dibawa kerajaan baru nanti?

Bajet 2018 pada 27 Oktober, PRU-14 tahun depan?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin memberi petunjuk bila pilihan raya umum akan datang dijangka diadakan, selepas mengumumkan tarikh pembentangan Bajet 2018.
Menurut laporan Bernama, Najib pada ucaptama semasa Majlis Konsultasi Bajet 2018 di Putrajaya, berkata, belanjawan negara akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Oktober.
Ini akan menjadi bajet terakhir Najib sebelum Dewan Rakyat secara automatik terbubar pada Julai tahun depan berdasarkan tarikh ahli parlimen semasa mengangkat sumpah jawatan lima tahun lalu.
Malah, jika Najib mengadakan pilihan raya sebelum itu, pembentangan Bajet 2018 seolah-olah memberi petunjuk bahawa beliau akan berbuat demikian selepas bajet itu diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menurut laman web Parlimen, ketika bajet dibentangkan, Dewan Rakyat akan bersidang pada sesi yang bermula 23 Oktober hingga 30 November. Sementara itu, persidangan Dewan Negara akan bermula dari 4 hingga 19 Disember.
Dengan membiarkan parlimen terbubar secara automatik tahun depan akan memberi Najib tempoh masa tidak kurang enam bulan untuk melaksanakan aspek-aspek utama belanjawannya itu.
Ini mungkin membabitkan projek-projek baru yang mesra rakyat, termasuk menawarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang lebih lumayan.
Walau bagaimanapun ini bukan suatu kelaziman. Pada tahun 1999, Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin membentangkan bajet tahun 2000 pada Oktober 1999.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membubarkan parlimen pada November sebelum Parlimen meluluskan bajet itu.
Daim terpaksa membentangkan semula belajawan pada Februari 2000 selepas pilihan raya diadakan.
Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari setelah Dewan Rakyat dibubarkan.
Pada ucaptamanya hari ini yang Negaraku Membentuk Masa Depan, Najib berkata, kerajaan perlu lebih peka dan meneruskan usaha dalam mewujudkan barisan penampan, menggalakkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan mendorong eksport semasa lebihan akaun semasa kini yang semakin mengecil.
Najib yang juga menteri kewangan berkata kerajaan juga perlu sedar bahawa Malaysia beroperasi dalam persekitaran global yang kompetitif, yang sentiasa memerlukan perubahan segera.
"Kita perlu melibatkan diri dalam aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi supaya kita dapat mengekalkan kelebihan dan sentiasa dihadapan persaing.
“Berdasarkan kelebihan ini, serta prospek global yang semakin baik, ekonomi negara kita berada pada landasan untuk mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus tahun ini.
“Hari ini, ekonomi kita sudah dipelbagaikan dari segi sumber pertumbuhan dan pendapatan hasil daripada pembaharuan ekonomi, kewangan dan fiskal yang telah dilaksanakan kerajaan.
“Ini meletakkan kita pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran ekonomi global dan domestik," kata Najib.

Pemimpin Bersatu ikon, relevan, simbol rakyat masa kini, kata penganalisis

Meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam dua jawatan tertinggi akan memberi impak besar kepada Pakatan Harapan, kata penganalisis politik.
Pensyarah Kanan dari Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, parti gabungan harus mempertimbangkan jawatan tertinggi dalam barisan kepimpinan Pakatan Harapan itu diberikan kepada seorang pemimpin yang dilihat menjadi ikon dan simbol kepada rakyat masa kini.
"Amat perlu dipertimbangkan juga tokoh yang disusun dalam carta organisasi mempunyai sejarah dan impak masa kini.
Mazlan Ali 5"Parti gabungan harus melihat situasi masa kini sebagai satu simulasi yang sepatutnya Pakatan Harapan tidak sukar untuk membuat keputusan, siapa pemimpin mereka dalam gabungan itu.
"Walaupun Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) masih dalam penjara kita tidak nafikan sebagai ikon politik dan simbol pada pembangkang.
"Walaupun Tun M dulu BN dan sekarang menentang BN, parti gabungan tidak boleh meletakkan Tun M ke tepi.
"Tun M seorang tokoh yang lama dalam politik dan kita lihat masa kini dia menunjukkan kewibawaannya memimpin yang mana mampu menyatukan ahli partinya (Umno) dalam gerakan rakyat untuk menyertai gerakan pembangkang," ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam, yang dipetik berkata, DAP tidak bersetuju dengan cadangan dua jawatan tertinggi gabungan itu dipegang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ini kerana tersebar dakwaan kononnya Bersatu mencadangkan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi dan presiden Pakatan Harapan.
Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sebagai penasihat Pakatan Harapan.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan pengerusi, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai timbalan presiden, serta Lim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai naib presiden.
Dr Mazlan berkata, Pakatan Harapan harus menunjukkan kompromi yang baik dan lebih fokus kepada mewujudkan satu gabungan parti dalam gerakan yang kuat dengan menonjolkan pemimpin yang lebih relevan masa kini.
"Selama ini Anwar menjadi simbol kepada perjuangan pembangkang, namun sebaliknya PPBM melihat pada keadaan semasa, Anwar tidak dapat memainkan peranannya untuk mengerakkan Pakatan Harapan sedangkan sepatutnya pada masa ini gabungan parti perlumemfokuskan kepada satu gerakan yang kuat untuk menyakinkan rakyat.
"Meletakkan Wan Azizah sebagai timbalan pengerusi, Tun M pengerusi dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden walaupun ia tidak sempurna dilihat DAP, sebenarnya ia satu permulaan yang baik oleh Pakatan Harapan yang akan dilihat oleh rakyat.
"Saya lihat satu bentuk kompromi yang baik perlu ditonjolkan dan dipertimbangkan parti gabungan untuk menyusun carta organisasi Pakatan Harapan yang jitu," tegasnya.

BERSATU akui cadang Dr M jadi pengerusi HARAPAN, tapi...

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengaku mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pakatan Harapan dalam mesyuarat majlis presiden gabungan itu minggu lalu.
Ketua biro strategi dan dasar parti itu Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff bagaimanapun berkata cadangan itu berbeza daripada apa yang dilaporkan media, yang menyebut Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dinamakan sebagai presiden HARAPAN.
Katanya, cadangan balas mereka itu sebenarnya berbeza dengan apa yang dirujuk oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“Ya, kita cadangkan Mahathir sebagai pengerusi tetapi kita berpegang kepada cadangan balas dalam mesyuarat lalu, tiada elemen monopoli dalam kepimpinan utama,” katanya kepada Malaysiakini.
Lim semalam menolak kemungkinan dua jawatan utama dalam HARAPAN diisi tokoh BERSATU kerana ia dilihat sebagai monopoli dan penguasaan kawalan.
Sumber yang hadir dalam mesyuarat Jumaat lalu memberitahu Malaysiakini bahawa Muhyiddin bersetuju dengan cadangan balas parti lain supaya Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai presiden HARAPAN.
Bagaimanapun, PKR dilaporkan tidak dapat memberikan persetujuan kerana harus merujuk kepada ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dipenjarakan terlebih dahulu.

Kerajaan ‘jual’ Proton kerana dendam kesumat, kata Dr M

Beliau turut mempersoalkan wang yang didakwa dibayar kepada Proton.
mahathir-proton-1
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan menjual Proton didorong oleh “dendam kesumat”, sehinggakan kerajaan mengabaikan soal maruah negara.
“Penjualan Proton dipaksa kerana dendam kesumat. Maruah tidak penting. Membalas dendam lebih penting,” katanya dalam entri terbaru di blognya.
Pengasas industri otomobil kebangsaan itu berkata kerajaan sebenarnya mampu dan tidak perlu menjual kepentingan Proton kepada syarikat China, Kumpulan Geely Holding, jika tidak menggunakan cukai yang dikenakan ke atas rakyat untuk membeli sokongan.
Menurutnya, wang yang didakwa diperutukkan kepada Proton sebanyak RM1.7 bilion sebenarnya tidak sampai kepada syarikat itu.
“Ya, maruah mempunyai kos. Duit sebanyak RM1.7 billion yang kononnya diberi kepada Proton sebenarnya tidak sampai setakat yang diketahui,” katanya.
Pada 24 Mei, DRB-Hicom mengumumkan menjual 49.9% sahamnya dalam Proton kepada Geely, gergasi otomobil China yang sebelum ini turut mengambil alih Volvo dari Sweden.
Proton yang ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat otomobil pertama negara, bergelut sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.
Pada 2001, ia menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi merosot kepada 14% tahun lalu, di sebalik populariti kereta import dan aduan mengenai mutu kereta.
Dr Mahathir berkata penjualan Proton merupakan pengakuan “kita gagal dan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju terencat”.

Peguam negara mesti arah polis siasat pindahan bank RM9.5 juta

Apandi Ali mesti campurtangan kerana laporan polis sudah dibuat dan sudah menjadi tugas polis untuk menyiasat setiap laporan.
gobind-apandi-ali-polisKUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu mengarahkan polis memulakan siasatan ke atas laporan mengenai peguam yang didakwa menerima RM9.5 juta dari akaun bank peribadi perdana menteri, kata seorang wakil rakyat.
Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata semua laporan yang dibuat orang awam perlu dilayan secara saksama.
“Peguam negara mesti campurtangan. Saya tak pasti mengapa beliau masih berdiam diri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri prosiding mahkamah.
Gobind mengulas mengenai sekurang-kurangnya 3 laporan yang dibuat pimpinan PPBM dan PKR 2 minggu lepas susulan laporan Sarawak Report yang mendakwa RM9.5 juta dipindahkan dari akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak kepada akaun bank Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam menepis dakwaan itu, mengatakan polis tidak akan menyiasat perkara itu kerana ia dianggap sebagai khabar angin.
Pegawai tertinggi polis itu juga berkata editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown boleh datang ke Malaysia untuk memberi keterangan tetapi polis tidak akan menjamin laluan selamat untuknya.
Gobind mengkritik kenyataan Khalid, penentuan sebarang kes dianggap khabar angin atau tidak terletak di tangan peguam negara dan mahkamah selepas siasatan selesai.
“Beliau tiada hak untuk memutuskan sesuatu dakwaan yang dibuat melalui laporan polis itu khabar angin atau bukan,” kata Gobind.
Gobind hari ini berkata Apandi perlu mengarahkan pegawai penyiasat supaya meneruskan kes itu dan menyiasat perkara tersebut sebaik mungkin.
“Kertas siasatan kemudian akan dirujuk ke pejabat peguam negara untuk membuat keputusan sama ada tindakan perlu diambil,” tambahnya.
Beliau berkata Khalid tidak patut memutuskan sama ada siasatan perlu dilakukan.
Gobind berkata selalunya seorang pegawai polis akan ditugaskan untuk menyiasat kes itu apabila suatu laporan dibuat.
Peguam S N Nair berkata pegawai polis boleh dihantar ke London untuk merakamkan keterangan dari editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown untuk memulakan siasatan itu.
Beliau berkata Rewcastle-Brown tidak boleh dipaksa untuk datang ke Malaysia atas perbelanjaan sendiri.
Rewcastle-Brown dilaporkan mengalu-alukan polis untuk menemui beliau di United Kingdom.
Laporan itu berkata RM9.5 juta itu dilakukan melalui 2 kali bayaran, pada September 2013 dan Februari 2014.

Ada muslim 'tukar' aqidah dengan wang, pangkat sembang PAS

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan mendedahkan apa yang didakwanya mengenai kewujudan sikap orang Islam yang sanggup menukar aqidah mereka dengan wang dan pangkat.
Tanpa menamakan mana-mana individu, Nasrudin pada masa yang sama turut menegaskan, usaha sesetengah pihak untuk menyebar, tubuhkan negeri atau bandar berasaskan agama selain Islam adalah bertentangan dengan perlembagaan negara.
"Malang, ada muslim gamak pertahan. Mereka hilang sensitiviti. Tiada harga diri. Aqidah ditukar dengan wang dan pangkat.
"Islam agama Persekutuan. Ia dimuktamadkan oleh perlembagaan negara. Agama lain boleh diamalkan oleh penganutnya dalam mana-mana bahagian persekutuan secara aman.
"Namun untuk sebar malah tubuhkan sebuah negeri atau bandar berasaskan agama selain Islam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Negara," katanya dalam laman Facebook milik beliau.
Nasrudin dipercayai merujuk kepada laporan oleh blog yang memetik pandangan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Senator Dr Ariffin Omar bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan jika Pulau Pinang menjadi bandar Kristian.
Laporan itu memetik persoalan yang ditimbulkan oleh Senator Tan Sri Ibrahim Abu Shah mengenai aktiviti evangelisme dalam negara yang tertera dalam rekod Hansard perbahasan pada 19 April 2017 di Dewan Negara.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar Kristian adalah isyarat jelas gerakan Kristianisasi yang lebih radikal melalui gerakan Evangelis Kristian sedang giat beroperasi.
"Menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar Kristian dengan hasrat mahu meminda Perlembagaan negeri adalah isyarat jelas bahawa gerakan Kristianisasi bahkan lebih radikal melalui gerakan Evangelis Kristian sedang giat beroperasi.
"Bangkitlah ummah," seru Nasrudin dalam laman yang sama.
Dakwaan Agenda Kristian
Sebelum ini, DAP juga dituduh memperjuang agenda Kristian apabila Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki yang mahu DAP memberi reaksinya berhubung sebuah buku hasil tulisan Iain Buchanan bertajuk ‘Sang Nila Utama and the Lion of Judah: Dominionism and Christian Zionism in Malaysia’.
Mohd Zuhdi mendakwa buku Buchanan, yang diterbitkan pada tahun 2015, menyebut dengan jelas tentang pembabitan pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Hannah Yeoh.
“Sebagai contohnya pada mukasurat 26 hingga mukasurat 34, di bawah tajuk kecil ‘Dominionism: Lesson from Penang’, penulis menyebut tentang kaitan kerajaan Pulau Pinang yang diketuai oleh DAP.
“Nama Lim Guan Eng dan Hannah Yeoh turut disebut di bawah tajuk kecil ini. Pusat Penyelidikan PAS melihat pendedahan buku ini yang memalitkan DAP khususnya dengan gerakan ‘dominionism’ adalah perkara yang lebih utama untuk mereka jawab,” kata Mohd Zuhdi lagi.

SPRM didakwa berat sebelah kendali kes 1MDB, FGV



 Usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil 50 saksi berkaitan kes membabitkan kerugian Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) dianggap berat sebelah kerana gagal berbuat perkara sama terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Koordinator Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, SPRM perlu profesional, tegas dan telus dalam usaha memerangi rasuah yang berleluasa di negara ini.
Azam Baki "Saya nak tanya SPRM bila pula nak siasat skandal 1MDB berskala besar serta serius macam siasatan FGV yang mana SPRM akan memanggil 50 orang saksi?
"Kes skandal 1MDB lagi besar daripada salahlaku FGV.
"Kenapa dalam salahlaku FGV nampak SPRM boleh bertindak secara habis-habisan tetapi dalam kes skandal yang lebih besar babit 1MDB nampak agak sepi?!
"Macamana dengan semua laporan-laporan yang saya buat pada SPRM sejak Disember 2014?," soalnya dalam kenyataan hari ini.
Khairuddin Abu Hassan Beliau mengulas mengenai kenyataan dibuat oleh imbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Azam Baki pada Isnin, dipetik berkata lebih daripada 50 orang dijangka akan dipanggil sebagai saksi untuk membantu dalam siasatan isu FGV akan dipanggil untuk merekodkan kenyataan mereka.
Justeru Khairuddin menegaskan nama-nama yang dikaitkan ada hubungan dalam kes 1MDB sewajarnya turut dipanggil untuk siasat dalam kes tersebut.
"Adakah Najib, Rosmah Mansor, Jho Low, Riza Aziz dan semua ahli lembaga pengarah 1MDB sudah dipanggil untuk siasatan dalam kes skandal 1mdb?
"Pada hemat peribadi saya SPRM boleh bertindak agresif ke atas mana-mana kes dan tidak akan meninggalkan impak keyakinan pada keseluruhan rakyat Malaysia selagi kes skandal 1MDB tidak ditangani secara adil.
"Ini adalah kerana keseluruhan rakyat di negara kita ingin melihat apa penyudahnya," ujarnya.
Khairuddin berpandangan selagi SPRM tidak mengambil pendekatan serius untuk menyiasat dan mendakwa semua yang terlibat dalam kes skandal 1MDB selagi itulah kredibiliti SPRM sukar dipulihkan.
"Sebanyak lima negara di luar yang saya buat laporan kepada pihak penguatkuasanya telah pun menangkap, mendakwa di mahkamah serta yang bersubahat telah dipenjarakan.
"Tetapi di malaysia peguam negara yang bernama Apandi Ali kata tiada kes!!
"Khalid Abu Bakar selaku ketua polis negara kata PDRM baru selesai siasatan kes skandal 1MDB dan kertas siasatan dah diserahkan pada pejabat peguam negara.
"Saya yakin kesemua masyarakat negara ini dan warga luar ingin melihat iltizam atau kesungguhan SPRM untuk menyelesaikan siasatan seterusnya bertindak ke atas semua pengkhianat negara yang terlibat dalam kes 1MDB," ujarnya.

INDONESIA: FELDA TELAH PUN MEMBELI 37% PEGANGAN DALAM PT EAGLE HIGH, AKAN MENAMBAH PEGANGAN

Dengan segala berita mengenai pertelingkahan yang sedang berlaku di Felda Global Ventures Berhad (FGV), saya bimbang kekecohan itu sebenarnya menutup pelbagai masalah yang lebih besar sedang dan bakal berlaku di dalam Felda dan FGV.
Walaupun mendapat tentangan hebat rakyat, pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak tidak sekali pun menyatakan akan berundur dari cadangannya untuk membeli 37% pegangan di dalam PT Eagle High Plantations milik Tan Sri Peter Sondakh pada harga yang berkali ganda lebih tinggi.
Foto Rafizi Ramli. Isu kepincangan pengurusan Felda dan pelbagai kerugian Felda mendapat perhatian setelah cadangan pembelian itu bocor kepada rakyat. Pun begitu, tidak pernah ada satu kenyataan pun bahawa Felda sedang mengkaji semula keputusan itu walaupun Pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Shahrir Samad mengakui secara terbuka bahawa Felda terpaksa meminjam wang untuk membayar pembelian itu.
Setakat ini, saya belum membaca apa-apa pengesahan rasmi dari Felda mengenai pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations.
Kita bernasib baik kerana urusniaga Felda dengan Tan Sri Peter Sondakh itu mendapat liputan meluas di kalangan media Indonesia.
Minggu lalu, bertarikh 8 Jun 2017, akhbar Harian Kontan di Indonesia telah melaporkan satu berita bertajuk “Felda Dikabarkan Incar Porsi Mayoritas BWPT” yang bermaksud “Felda Dikhabarkan Berminat Kuasai Saham Majoriti PT Eagle High”. Capaian berita Harian Kontan itu ada disertakan di sini http://m.kontan.co.id/…/felda-dikabarkan-incar-porsi-mayori…
Antara lain, berita itu melaporkan perkara-perkara berikut:
Felda telah pun membeli 37% pegangan di dalam PT Eagle High
Urusniaga itu dimuktamadkan dalam bulan April 2017 dengan Kumpulan Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh
Anak syarikat Felda, FIC Properties Sdn Bhd membayar sehingga USD 505.4 juta bersamaan sekitar RM2.12 bilion bagi saham-saham itu
Felda dilaporkan akan membuat satu “tawaran umum” atau “general offer” bagi membeli saham-saham PT Eagle High yang belum dimilikinya
Saya meminta supaya Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shahrir mengesahkan perkara-perkara ini iaitu Felda telah pun membeli 37% saham PT Eagle High walaupun tidak diumumkan sebelum ini.
Lebih-lebih lagi, saya mahu Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shahrir menjawab adakah benar Felda berniat untuk menguasai saham-saham PT Eagle High yang belum dimilikinya melalui satu “tawaran umum”. Pada harga yang dibayar Felda, untuk menguasai 30% lagi pegangan akan melibatkan sekitar RM2 bilion lagi wang Malaysia disuntik ke syarikat perladangan Indonesia. Soalan yang paling penting ialah dari mana wang ini akan datang dalam keadaan kewangan Felda sendiri dalam keadaan yang tenat sehingga terpaksa menjual asetnya seperti saham-saham Felda di dalam Maybank?
Saya sedang mengumpul lebih banyak maklumat mengenai kemelut yang berlaku di FGV. Saya bimbang sekiranya kemelut ini digunakan untuk mengkambing hitamkan Tan Sri Isa Samad (kalau pun ada asas penyelewengan yang kukuh selepas siasatan SPRM) bagi tujuan membuktikan bahawa Felda kini bersih dari penyelewengan, lalu menghalalkan pelbagai urusniaga yang dibuat secara senyap seperti pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations yang telah berlaku kini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN